Ahad, Mei 16, 2010

KEBANGKITAN

SILA 'PLAY' UTUBE DIBAWAH SAMBIL MEMBACA NOTA INI...

Afghanistan – sebuah tanah yang dulunya subur dan mewah dengan hasil bumi. Masyarakatnya berpuak-puak, namun kepelbagaian itu ibarat tanah yang berjenis-jenis – subur sekali. Menghirup udara tanah ini tidak sama dengan bau-bauan tanah-tanah di tempat lain. Hakikatnya – aku belum pernah pun menjejak kaki di Afghanistan. Ayat-ayat di atas hanyalah gurindam ‘dengar cakap’ dari kisah orang lain. Hahaha.

Kini ( khabar dari berita ), bumi Afghanistan telah tandus ditanduskan oleh warga penjajah yang menjarah. Kasihan pada mereka – walau aku tidak pernah kesana. Aku tahu ( khabar dari berita ), tamadun bangsa ini pernah melahirkan tokoh-tokoh ilmuan yang hebat, penyajak/pemuisi yang agong dan seniman yang mulia. Nama-nama itu menjadi latar sejarah kebudayaan dunia. Negeri Afghanistan ini pernah menjadi kota penting sepertimana Kota Paris, New York atau Mumbai pada ketika ini, neonnya kemerlau – walau aku masih belum pernah kesana.

Zaman moden, tanah ini dijarah oleh Russia, kemudian Taliban (bangsa sendiri) dan kini kuasa Imperialis Amerika. Mereka berperang sudah lebih 50 tahun dengan musuh bersilih ganti, kasihan. Kota yang dulunya mewah seperti Kabul habis runtuh. Tiada sekolah, universiti dan salon. Di tengah-tengah runtuhan kota dan tamadunnya, kini ia mula bangkit sedikit demi sedikit seperti pada berita ini dan di sini.

Buat bangsa Afghan, bergembiralah kerana khabar gembira telah sampai buat kalian.
Buat bangsa Malaysia - insaflah akan keadaan ini.

Isnin, Mei 03, 2010

KITA SEDANG BELAJAR MENDENGAR.

Aku nak berserius kejap di sini…
Hari pertama manusia mengenal dan bertindakbalas pada dunia, pantas menerusi nyanyian – tangisan. Aku sendiri masih tidak mampu mengingati melodi itu sewaktu menyanyikannya, namun jika ada dikalangan teman-teman yang mampu berbuat demikian, ayuh kenalkan aku padanya, aku ingin sangat mendengar mereka ini 'menangis'. Hari ini, kita telah menjadi pendengar kepada nyanyian melodi itu, bagi bayi (mungkin anak sendiri) dan kita yakin, lagu dan nadanya sama sewaktu lampau kita dahulu, malah dulu-dulu lagi sebelum terjadinya yang baru.

Sewaktu sekitar usia 2 – 6 tahun, aku tergolong sebagai anak yang pendiam. Ketawa tidak mengekek macam anak-anak lain, hanya senyum. Bercakap tidak jelas, bukan pelat tetapi memang tidak jelas. Menangis tiada banyak bunyi, hanya linangan air mata tanda sedang bersedih. Ini antara pengkisahan dari orang tua aku tentang aku ketika kecil. Aku tidak peduli sangat tentang kisah purba ini.
Pada satu peringkat usia 7- 12 tahun (aku tidak pasti adakah anak manusia lain juga begitu), aku sering terkhayal mendengar bunyi. Masa itu, mana-mana suara yang aku pernah dengar akan mudah melekat dalam memori. Hingga sewaktu dikelas, guru menggelar aku budak khayal. Ya, memang aku selalu berkhayal dengan bunyi-bunyian, tetapi tiada siapa yang tahu ketika itu, tentang bunyi yang bermain didalam kepala aku. Suara yang aku dengar, ada yang datang dari bunyi suara orang menyanyi, bercakap, menjerit dan macam-macam lagi. Ini bukan suara 'hantu polong' tetapi suara realistik yang aku hadap dengar sehari-hari. Hanya kerana aku mudah menangkap dan mengingati bunyi-bunyi ini maka aku ’terkhayal’ olehnya hingga terbawa-bawa kedalam kelas belajar, langsung aku sering diketawakan. Zaman itu, aku seolah mengalami rasa rendah diri yang melampau, terasa seperti orang cacat. Aku diejek setiap hari oleh teman-teman sekelas sebagai budak yang ’ting-tong’ (sewel). Pantang silap, ejekkan akan keluar. Peristiwa ini masih segar dalam ingatan. Ini antara kejadian yang aku sedari, bagaimana aku mula menyoal tentang bunyi – muzik. Dan, kesemua ejekkan ini lenyap setelah aku berjaya membuktikan sesuatu ketika disekolah dulu.

Aku pernah menyoal emak, telah arwah pun. Waktu itu umur aku 9 tahun. Bagaimana agaknya suasana dan bunyi tatkala aku (kita) dalam rahim ibu? Benarkah ia salah satu tempat paling selamat dan paling hening yang aku (kita) pernah alami? Ketika itu aku mendengar bunyi apa? Dari mana bunyi itu datang? Suara ibu? Pada masa itu (dalam rahim) kita sudah pun dapat mendengar dan menjadi pendengar yang murni, kita tidak mampu mengingati keindahan suara yang kita dengarkan itu. Terlalu indah mendengar hingga kita lupa untuk mengingatinya. Seorang Neurologis, Dr Stefan Koelsch percaya bahawa otak manusia dapat menangkap bunyi dan muzik seawal jasad manusia itu sempurna lagi, namun untuk bertindak balas secara 'orchestrate' adalah satu proses selepas kelahiran. Dan, kita sedang melaluinya kini.
Menyebut tutur kata seperti 'aku' berbanding dengan mendengar perkataan 'aku' itu tidak dapat sama kesannya, apatah lagi sebutan tu bernada. Untuk menyebutnya, selain daripada ransangan dari luar, perlu ada satu desakkan kuat dari dalam diri, desakkan itu sebagai satu upaya keberanian untuk menutur atau melancar pertuturan. Perlu ada paksaan pada diri untuk mula-mula menyebutnya. Dan, ketika menyebutnya akal akan berhenti beroperasi seketika, untuk ketika dan detik di kala menyebutnya – pause. Namun, kita sebagai objek yang mendengar (menerima) bunyi dari suara pertuturan samaada dari diri sendiri atau orang lain, akan mendorong akal untuk galak berfikir. Dikala dan detik mendengar sebutan itu, otak akan mengecam jenis/dimensi suara dan melaras sumber bunyi itu.

Dengan kata lain, sedang kita menutur sesuatu, bekerja atas sesuatu itu, juga merupakan ekspresi luahan dengan segenap upaya diri dan nafas yang ada. Maka akal menjadi pasif kerana otot tubuh proaktif – bertentangan aksi. Sebaliknya, ketika mendengar, kita menjadi observer, kita inhale sense of sound dan otak akan bergerak aktif memproses data gelombang bunyi yang kita terima. Ini semua sebagai satu proses re-aktif kepada otak – maka ia bekerja. Proses mendengar adalah proses awal untuk perkembangan otak dan akal dalam memahami sesuatu. Kerana itu sering kita dengar ulasan – mendengar muzik akan refresh minda kita kembali – refresh – reactive – recharge.

Kita sememangnya mahukan karya-karya muzik yang berkualiti – untuk tujuan apa pun. Namun kita juga memerlukan pendengar yang bagus. Tak mungkin salah satu dapat hidup subur tanpa satu perkara lagi. Kita punya lagu-lagu yang sedap, tetapi kita belum ada produksi yang betul-betul hebat, barangkali. Kita punya pendengar, tetapi mereka tidak cukup aprisiasinya. Bukankah taste atau citarasa ini boleh dididik dari awal usia lagi. Aprisiasi ini penting, bukan hanya untuk muzik – seni, bahkan untuk semua perkara dalam hidup ini. Kesemua yang datang dari aprisiasi ini akan membentuk persepsi kita pada dunia. Dan, dunia ini akan diwarnai dengan persepsi kita itu tadi, jika baik persepsinya maka dunia kita ini akan dibajai dengan hasil kerja yang bagus-bagus. Namun, oleh kerana kita terlalu banyak bercakap dari mendengar, maka otak menjadi kurang aktif. Sedangkan, kita semua masih lagi dalam proses belajar mendengar. Lihat sajalah sejarah muzik kita jika hendak dibandingkan dengan tradisi muzik simfoni di Eropah dan blues di Amerika.

Dapatkah kita bayangkan, kita punya ide yg bagus, bekerja dengan produksi yang bagus, disokong oleh pendengar yang bagus. Apa lagi yang seniman mahukan selain dari pendengar/pembaca/penghayat yang dapat menghayati idenya? Ini sudah cukup indah. Malah ini mungkin menjadi penyelesaian dasar kepada isu kelembapan jualan album di tanahair kita. Bukankah seniman artis bekerja demi satu keindahan untuk dikongsi bersama insan lain. Tetapi malang, kita sendiri yang membiarkan ia kotor dengan gimik yang tak perlu dan ianya berterus-terusan.

Hari ini aku mendengar sebuah lagu, esok lagu lain, lusa dan seterusnya begitu juga. Kalian juga begitu bukan? Apakah pandangan yang telah kita kumpul selepas mendengar semua lagu-lagu ini? Berapa banyak tanggapan yang telah kita buat dari semua muzik yang telah kita dengar itu? Dan, adakah tanggapan itu berbaloi untuk menjadikan diri kita seorang pendengar yang bagus?

Dalam pembelajaran muzik, salah satu aspek yang harus lulus ialah ujian mendengar, latihan mendengar dan belajar jadi pendengar yang baik sebelum memberi orang lain mendengar kerja-kerja kita.
“Dengar wahai teman, dengarkan bersama, aku menulis bukan kerna nama“ – Ramli Sarip.

Rabu, April 21, 2010

HABIS PENAT.


16 April 10
Jam 7 pagi – aku dah bersiap ke Audi Dewan Sivik. Sampai sekitar jam 8.30 pagi. Sepanjang memandu, telefon tidak henti berbunyi. Isi panggilan tu rata-ratanya dengan soalan itu dan ini, tiada langusng isi berbentuk pemberitahuan atau makluman tentang itu atau ini. Aku yang menyambut panggilan hanya mampu untuk menjawab dan menerangkan, tiada peluang untuk menyoal. Inilah rupanya kerja mengurus kerja dan pekerja. Sampai di audi, pekerja dewan sedang sibuk menyapu lantai di lobi, ada yang memanjat ada yang membongkok, sebahagian lagi di dalam audi, juga sibuk mengemas sit, menyapu, mengutip kotor. Ada antara mereka yang datang bertanya mana lagi mahu dibersihkan. Aku minta mereka lihat di mana saja yang kelihatan kotor, maka ia harus dibersihkan. Pekerja-pekerja ini sangat tekun sekali. Suasana agak lengang.

Badan mulai berpeluh melayan pentas yang masih belum cukup sempurna. Ada kru yang hilang, ada yang belum muncul. Grup Hands Percussion sudah sedia menunggu untuk sound check. Mereka ini sampai betul2 tepat pada masanya. Aku segan. Aku rapati mereka dan kami berbual mesra. Tidak banyak perkataan antara kami. Mereka sudah sedia maklum untuk tidak bertanya banyak soalan. Hanya yang perlu2. Hampir jam 11 baru mereka dapat sound check. Sempurna. Oleh kerana ramai yang kesiangan kerana malam tadi habis lewat. Aku lengkapkan bahan-bahan untuk Emcee, montaj, presenter, juri dan hal-hal kepala bana yang lain. Bos sedang membantu aku. Kami berdua sudah kurang bercakap, hanya tangan sibuk bekerja. Telefon berbunyi “ en.mazir ke tu?...em..boleh dapat tiket lagi tak” ayat ini hampir 20 kali aku dengar hari tu. Lepas panggilan ke lima aku hanya mampu menjawab “em..em..em..”. Jika sesiapa salah dengar, bunyinya macam suara orang tengah horny....

Jam 3 ptg. Fresco Harmonica grup sudah tiba, ayu sungguh pengurus grup ini. Dia sedikit basah di timpa hujan. Dia mencari aku ibarat Hawa mencari Adamnya. Kini ketemu sudah, tapi tidak banyak bicara – terus bekerja. Jam 4 mereka berhenti. Kru mulai sibuk, betul-betul sibuk. Kesemua elemen sudah sampai. Badan sudah banjir. Maklumlah, nak sambut ‘menantu’. Menantu sulong pulak tu – poyyyyo betul rasanya. Em, inilah yang dikatakan poy.

Jam 6 ptg. Aku telah mandi. Wangi,tukar baju yang kering. Ye ye or. Masing-masing dah mula meracau kesana kemari. Aku sudah tidak nampak mereka walau kami sama-sama dalam satu dewan. Tap! Short circuit. Kena kat area console, montaj padam. Aku lihat jam sudah jam 7. P..ki..m..k…! Sebentar tadi sudah kering dan wangi, kini lebih basah, lebih banjr dari sebelumnya. Call geng teknikal dewan, seekor pun tak berjawab. Kru-kru dan aku main2 mata saje. Peluh. Suspen. Panik. Power tiada nak projek elemen untuk malam ini. Apa cer bro? Tiba-tiba datang seorang mamat. Tolong tengok, tapi macam tolong buat sibuk. Masa berjalan dan, hanya kru di konsol sahaja yang tahu keadaan ini. Orang lain tidak sedar. Mamat ini terus bergelut mencari punca black out. Cabut sana, cucuk sini, tiada apa2. bypass power sana, tarik masuk sini – sama. Tetamu sudah mulai sesak. Kami terus bekerja. Tak peduli. Aku ‘tekan’ mamat ni. “u jangan balik selagi tak settle power”. Dia mengangguk saja. Kasihan, dia asalnya sekadar nak tolong tengok, kini dah jadi beban tanggungjawab pula. Zalim betul aku.

Jam 7.50. VVIP dan tetamu sudah sampai. Miracle – tiba-tiba..zuuupppp.. power on. Standby. Amin. Ngam-ngam timing. Tak sempat nak merasa lega. Terus ON,

11.30 malam. Lega. Jam 4 pagi baru dapat memandu pulang. Tahniah kepada semua calon dan pemenang. T.Kasih pada semua.

Sembelih ayam pisaunya tumpul,
Ayamnya hidup makan sekoi,
Banyak karya sudah terkumpul,
Menanti detik usahanya berbaloi.