Khamis, November 11, 2010

Di mana Kan Ku Cari Ganti


Aku masih ingat, arwah Loloq pernah bertanya ( beliau merujuk kepada M.Nasir pada ketika itu ), “Antara Ahmad Nawab dengan dia, siapa lebih hebat? (lebih kurang begitu bunyinya). Aku cuma diam dengan soalan itu. Langsung dia sendiri yang menjawab “ M.Nasir-lah lebih hebat kerana lagu-lagunya lebih banyak yang popular dan dekat dengan masyarakat berbanding lagu-lagu Ahmad Nawab yang jumlahnya beribu-ribu itu”. Aku bersetuju kerana itu fakta yang betul–popular.

Baru-baru ini, Stesen ASTRO melancarkan satu program khas iaitu bulan P.Ramlee. Penuh dengan promosinya, tayangan filem siang dan malam, konsert dan biografi P.Ramlee. Dari kempen-kempen itu, seolah-olah aku rasakan P.Ramlee masih hidup atau mungkin terasa seperti aku telah dihantar kembali ke zaman Studio Jalan Ampas. Hebat.

Dari laporan akhbar tempatan, menyebut program ini mendapat sambutan penonton. Usaha kreatif ini, juga terus menerima kritikan umum sebagai – hanyalah ulangan acara-acara seperti sebelumnya. Dan, isi program ini cuba memberi sedikit kelainan dari acara lalu, seperti konset ‘tribute’ oleh seleksi artis zaman ini dan tayangan sebuah dokumentari ‘P.Ramlee’ di saluran History Channel.

Kelainan isi yang cuba dipaparkan mungkin sedikit baru bagi tontonan khalayak umum. Kita sedar, untuk mencungkil fakta-fakta lama memang agak sukar memandangkan dokumentasi awal sememangnya tidak terurus (masalah bangsa kita yang ‘alami’ – culas mendokumentasi), malah saksi-saksi penting dalam setiap babak tidak begitu terperinci wawancaranya. Barangkali, soalan dan jawapan sudah di ‘skripkan’ atau di‘edit’ oleh penerbit atau mungkin kerana kekangan durasi masa penerbitan. Namun secara keseluruhan kandungan dokumentari yang diarahkan oleh Suhaimi Baba itu agak menarik.

P.RAMLEE DALAM INDUSTRINYA.

Sejak berdekad kita mendengar kenyataan “Tiada orang dapat menggantikan P.Ramlee” atau “Tiada lagi yang sehebat P.Ramlee”. Kadangkala kita naik muak mendengar ungkapan ini. Malah pada mana-mana artis di Malaysia sekalipun, kebanyakannya ’segan’ untuk dibandingkan dengan seniman ini, baik dari segi kerja mahupun pesonaliti. P.Ramlee ibarat ‘Tugu’ seni Negara yang langsung tidak boleh dibandingkan dengan sesiapa pun. Ini persepsi yang telah lama dibina untuk kita dan kita yang umum, menerima seadanya.

Namun, P.Ramlee sebagai manusia seniman yang menghasilkan karya seni adalah wajib untuk kita bandingkan dengan mutu dan hasil kerja seniman dari era yang lain. Kewajipan ini bukan persoalan untuk menang kalah atau mencari siapa lebih baik dari siapa, tetapi ini adalah hal kesinambungan proses bangsa kita berkarya. Proses berkarya wajar ada assessment pada setiap zaman kerana ia punya nilai dan persepsi yang sentiasa berubah-ubah mengikut cabaran era-era tertentu.

Mengenali cabaran pada period yang berbeza dan mengkristalkan atau memprojekannya bukanlah satu usaha sehari atau setahun – tidak mudah. Sudah menjadi sejarah dan tradisi pada era 40-60an, panggung wayang merupakan arena penting untuk filem dan muzik dilayar dan dimainkan. Televisyen dan Gramofon (apatah lagi radio kaset) belum lagi menjadi aksesori hidup keseluruhan masyarakat pada waktu itu.

Untuk mempopularkan sesebuah lagu adalah lebih berkesan disampaikan menerusi sesebuah filem, untuk menghasilkan filem pula (pada masa itu) bukanlah satu kerja yang ringan, selain faktor modal dan peralatan, kemampuan seniman itu sendiri sangat teruji malah persaingan untuk mendapat tempat sebagai pelakon bukan satu cabaran yang mudah dan cepat. Sungguhpun golongan karyawan pada masa itu tidak punya latar pendidikan formal yang cukup, namun sikap mereka pada mutu kerja, sudah kita semua ketahui.

Bagi insan seperti P.Ramlee, S.Sudarmaji, Mariani, Siput Sarawak, Maria Menado, Nordin Ahmad, Ahmad Mahmud dll. Mereka itu diuji berdasarkan kemampuan praktikalnya. Baik dari segi penghayatan, ketahanan, kemampuan vokal, tarian, skill muzik, disiplin sebagai warga studio hingga apa sahaja yang memerlukan kemahiran lengkap sebagai seniman/seniwati telah diuji, teruji dan terbukti. Ilmu pada masa itu adalah ilmu yang praktis. Produksi zaman itu sama seperti mana produksi di Hollywood. Ia sebuah industri yang menjadi idaman karyawan (era itu, ia bukanlah seperti yang kita kenali sebagai ‘industri’ hanya pada nama sepertimana sekarang). Pada zaman itu juga, hagemoni media dan politik belum begitu kuat mengkorupkan intelek masyarakat dan juga warga seni.

Atas faktor-faktor ini, tidak hairanlah mengapa karya-karya zaman itu, bukan sahaja dari kerja-kerja P.Ramlee malah seniman lain juga, kebanyakannya sangat menjadi, terbuka dan realistik baik pada lakonan, bahasa, tema, muzik dan bentukan karya dengan budaya kehidupan di zaman itu. Semangat zamannya diangkat kena dengan cara dan ketikanya. Dan ia berjaya. Produksi kerja yang menyokong elemen-elemen ini telah memberi ruang selesa buat pengkarya fokus bekerja.

Jika pembaca dapat merujuk pada nota aku yang terdahulu, inilah yang dimaksudkan sebagai adanya suasana yang kondusif, karyawan yang baik sikapnya, bekerja di dalam ruang kerja yang sihat demi penghasilan karya yang baik dan berkualiti – Lagu Politik ; dalam gelap Industri Muzik – Para VI, perenggan 3, baris 3-4. Faktor-faktor di luar konteks seni inilah yang diperlukan bagi pembangunan sesebuah industri.

Zaman itu tidak timbul soal penswastaan seperti yang pernah dimainkan oleh kerajaan Mahathir Mohamed, tetapi persaingan antara produksi seperti Shaw Brothers, Cathay Keris dan Malay Film Production sangat subur dan sihat. Dalam konteks perniagaan pada masa itu tidak timbul hal kuota-kuota bumiputera atau dinaungi oleh parti-pari politik secara langsung. Batas profesionalisme sangat jelas.

Di dalam paparan dokumentari ‘P.Ramlee’, ada diselitkan kekecewaan seniman ini selepas terjadinya pertikaian di Shaw Brothers (mogok dan ditutup). Pada sekitar 1963 lagi, sudah kelihatan bibit kejatuhan mutu filem melayu. Akhirnya, membawa P.Ramlee berhijrah (ini termasuk kesan secara tidak langsung daripada perubahan geopolitik pada masa itu tahun 1963, Singapura keluar dari Persekutuan Tanah Melayu) ke Studio Merdeka yang kemudiannya Merdeka Film Production Ltd. itu terjual kepada FINAS (kerajaan).

Usaha kerajaan menerusi FINAS juga bermula dengan hasrat yang baik, namun pada akhirnya ia terus menghumban kemerosotan hasil seni dan seniman itu sendiri. Di lembah yang baru ini, tiada lagi produksi yang bagus, tiada peralatan lengkap, persaingan pula bukan lagi antara artis/seniman, sebaliknya bergelut dengan para pemodal untuk dana berkarya. Elemen-elemen penting ini telah luput. Karyawan bukan lagi bekerja dengan seni tetapi terpaksa bekerja a.k.a. berpolitik untuk mengumpul dana. Ini ruang kerja yang gila.

Apa yang berlaku kepada P.Ramlee dan mutu karya seterusnya tidaklah menghairankan, kerana apa yang ‘diandaian’selama ini tidak salah. Segala hal-hal kerja yang bersifat seni dan kebudayaan jika ‘dijamah’ oleh tangan kerajaan (baca;politikus), akan kelak merosakkan kebudayaan itu sendiri. Kuasa politik bukanlah menjadi suatu kesalahan besar kepada kita, namun batas kuasa dan permainan politik itulah yang sering mengganggu karya dan karyawan. Maka tidaklah pelik bila mana industri seni kita hari ini tidak berdaya saing. Hal-hal kebudayaan menjadi plastik dan seni menjadi ‘kraf’. Hal ini turut aku catatkan, juga dalam catatan artikel yang sama pada Para III, perenggan 2 dan Para V, perenggan 1-3.

Seniman seperti P.Ramlee dan yang lain, dibentuk dari suasana kerja yang profesional dan terbuka. Hasil karya mereka adalah inspirasi dari jiwa insan yang memanfaatkan peluang kebebasan kerja dan ekspresi. Karya mereka dinikmati oleh masyarakat yang dekat dengan peradaban bangsa. Kewujudan mereka ini bukanlah sesuatu yang menghairankan atau bukan sesuatu yang tidak boleh dicipta lagi. Pakej ini lengkap. Dan sebagai cabaran bagi kita – melahirkan masyarakat yang celik budaya.

MUZIK DAN P.RAMLEE

Konsert lagu-lagu P.Ramlee sudah cukup banyak dipentaskan. Kebanyakannya dari inisiatif stesen TV/Radio seperti RTM, pernah juga Petronas dengan menjemput Orchestra of Tahskent di Dewan Filharmonik Petronas dan yang terbaru oleh ASTRO di Dewan DBKL ‘ Di Mana kan Ku Cari Ganti’. Secara umumnya, acara di Dewan DBKL itu aku anggap ok-ok saja, dalam persembahan muzik dan nyanyian artis pula, aku kira gagal.

Niat atau hasrat penganjur sudah kita sedia maklum, sememangnya murni. Kritikan aku hanyalah pada gubahan muzik yang aku anggap tidak cukup masak dengan artis dan muzik band boy itu sendiri. Hal latihan dan persiapan masa serta ketelitian dalam gubahan muzik kelihatan daif dalam arena yang mewah. Khabarnya, kesemua gubahan muzik pada persembahan itu diberi kepada KRU. Namun kritikan ini, bukan mengenai individu secara khusus, aku anggap kritik ini penting kerana keperluan kepada sesuatu perkara yang lebih utama, melampaui kepentingan individu atau kumpulan.

Dalam hujah ini, aku sedia memahami citarasa peminat P.Ramlee vis-a-vis artis dan muzik masa kini. Secara muzikalnya, tidaklah menjadi halangan untuk apa jua jenis gubahan dibentukkan kembali menjadi sesuatu yang lain, malah bukan pula menjadi suatu kewajipan untuk menyanyi ’sebiji’ sepertimana P.Ramlee lakukan. Hal ini sudah cukup untuk menjelaskan dimensi olahan muzik atau arrangement ke atas lagu-lagu Klasik seperti P.Ramlee. Permasalahan ini (gubahan dan penyampaian), sudah berlaku berulang-ulang kali pada acara seumpamanya.

Dalam proses dan formula gubahan, memang terdapat kaedah khusus mengenai Ki (key), chord transposition, bentuk lagu dsb. Namun dari segi konsep muzik, tidak ada formula khusus untuk merencana gubahan dari karya lama kepada gaya baru. Tiada. Ia adalah kebebasan intelek yang mutlak keatas si penggubah itu – semata-mata, dan kadangkala penggubah akan menyusun bulat-bulat sepertimana yang dikehendaki oleh penganjur atau penerbit. Apa yang dikatakan sebagai ‘konsep’ inilah yang akan menjadi asas kejayaan pementasan muzik.

Dalam persembahan tersebut, kita sedar bahawa bunyi sudah sememangnya berbeza, instrumentasi, ton suara, elemen muzik semuanya sudah sedia berbeza. Perbezaan ini adalah advantage kepada performer baru, malah jika tidak keterlaluan, ia sudah dikira sebagai satu penambahan (additional) elemen apatah lagi bila adanya perubahan pada Ki (key), elemen adlibitum (adlib) dan improvisasi, riff gitar, suara harmoni, bentuk pada versa dan korus. Kesemuan elemen ini akan menghasilkan suhu dan warna (atmosfera) yang pastinya berbeza dengan karya asal, dan ini sudah memadai untuk menjanjikan satu kelainan pada lagu itu.

Aku menjadi amat bodoh untuk faham bilamana kelainan yang sudah sedia tersusun itu cuba untuk ‘dilain-lainkan’ lagi. Akhirnya ia menjadi plastik. Dalam melihat permasalahan ini menerusi bingkai yang lebih besar, ini adalah manifestasi kegagalan industri muzik yang cuba dikosmetikkan menerusi karya-karya besar P.Ramlee. Karyawan zaman ini tandus ide untuk mengarang a new masterpiece. Kerana itu kritik ini, aku anggap perlu.

Sekurang-kurangnya, jalan untuk menghargai sumbangan P.Ramlee telah ditunjukkan seperti kerja seni Fauzi Marzuki menerusi ‘Lagenda’ nyanyian Dato’ Sheila Majid. Inilah sebenarnya tribute to P.Ramlee. Karyanya baru, muzikalnya bagus dengan konsep yang sederhana tetapi menarik. Selain daripada itu, pementasan P.Ramlee The Musical juga dapat dijadikan contoh yang baik bilamana karya pada pementasan itu digubah penuh ketelitian dan mantap dengan penggunaan elemen lagu P.Ramlee di beberapa bahagian pada lagu ciptaan baru (yang terdapat dalam P.Ramlee The Musical – pengarah muzik Roslan Aziz). Ia dikenang sebagai sesuatu yang baik dan istimewa kepada penghayat yang menikmati karya-karya P.Ramlee. Namun, komen secara peribadi oleh Roslan Aziz yang menganggap, mutunya boleh diperbaiki lagi.

Sekalipun kita kemaruk untuk membuat gubahan baru pada karya seperti P.Ramlee ini, wajar juga kita fahami permasalahan ‘konsep’ yang aku maksudkan itu pada lagu Eric Clapton. Ini satu lagi contoh yang amat sederhana dan yang boleh menjadi rujukan untuk hal gubahan baru. Lagu Wonderful Tonight ini sudah dirakam dengan pelbagai versi oleh artis-artis berbeza seperti Alan Jackson, David Kersh 1998 (genre country music), Kotch (Reggea), Damage (R&B). Namun, keaslian (originality) karya asal bersatu dengan identiti penyanyi dan muzik cover version artis itu. Elemen dan penyampaian tidak terlalu berlebihan, susunan muzik yang tidak keterlaluan dan menjiwai ide melodi asal. Di sebalik keasliannya terpelihara, nafas (mood) baru juga dapat dirasa, dan berperananlah karya tersebut untuk mengangkat karya dan artis cover version itu sekaligus.

SATU PANDANGAN.

Ingin sekali lagi diulang, nyanyian artis-artis baru sudah sememangnya berbeza dengan nyanyian atau penyampaian P.Ramlee itu sendiri. Perbezaan ini juga pernah cuba aku sampaikan dalam artikel terdahulu berjudul DNA MUZIK perenggan akhir, baris ke 4-6. Kegagalan kita memahami hal-hal asas yang sesetengah orang menganggap ianya remeh, hanya akan memberi kesan berpanjangan terhadap proses kita berkarya. Karya ciptaan atau gubahan adalah manifestasi daripada potensi diri karyawan tempatan zaman ini. Apakah ini sahaja kebolehan karyawan baru kita?

P.RAMLEE DAN PENINGGALANNYA

Karya-karya beliau terus dipuja dan dinikmati buat sekian lama. Terlalu banyak ungkapan puja-pujaan yang mengasihani karya dan dirinya, pujian ini seiring dengan kritikan terhadapnya, inilah lumrah. Tapi apakah kita yakin bahawa kelahiran seniman sepertinya, hanya datang dari usaha dan bakat beliau dengan bantuan guru-guru dan teman-temannya sahaja? Beliau memang hebat. Namun yang menjadikan P.Ramlee itu lebih hebat adalah masyarakatnya, zamannya dan industrinya. Tanyakah kita pada diri sendiri, dalam masyarakat seperti hari ini, pada cabaran di zaman ini dan atmosfera industri hari ini, akan mampu melahirkan seorang lagi tokoh setanding beliau?

Maka layaklah ungkapan metos “Tiada siapa dapat tandingi P.Ramlee”. Memang tidak akan ada lagi tokoh seperti P.Ramlee jika inilah zaman yang kita cipta, impikan dan biarkan ianya terus berlalu sebegini. Ya, P.Ramlee memang hebat dan beliau boleh berbangga kerana zamannya melangkaui kebolehan zaman kita. Beliau berjaya mengkristalkan perjuangan masyarakat dalam semangat zamannya. Itu sesuatu yang hebat.

Jika dapat kita tanyakan kembali soalan arwah Loloq itu, antara P.Ramlee dengan ribuan karya-karya abad ini, mana lebih hebat? Sudah tentu jawabnya karya P.Ramlee. Aku bersetuju kerana ia fakta yang betul – popular. Projek mempopularkan perubahan dan pencerahan adalah projek ‘paling popular’ zaman ini. Jangan lupa.

Isnin, Oktober 18, 2010

MAHU JADI PENDENGAR YANG BAIK.

Teman-teman yang ingin mengetahui tentang teori-teori ekonomi dari FA Hayek, teori tentang falsafah Habermas, teori kebebasan dari Victor Hugo, falsafah pencerahan dari E.Kant, yang ingin tahu tentang Ideologi, tentang Tuhan dan konsep-konsepnya. Maka wajiblah kalian membaca buku-buku tulisan mereka atau cari sendiri maklumat tersebut di internet. Internet sudah menjadi perpustakaan yang paling besar. Untuk kalian memahami asas dan latarnya, sudah mudah.

Untuk tahu tentang karya tokoh-tokoh tersebut, pastinya bukan dari tulisan tangan orang lain atau dari aku. Tak mungkin penulis lain seperti aku, mampu menterjemahkan kefahaman mengenai ide dari tokoh-tokoh ini lebih baik dari ampunya karya. Menterjemah? Umumnya, bangsa kita amat kurang menterjemah buku. Kata sifat pada keadaan ini barangkali 'lemban' – sangat negatif.

Justru, jika saudara-saudara ingin mendengar riwayat pengalaman aku tentang muzik, maka, hadis akulah yang selayaknya kalian baca. Bukan dari sanad orang lain. Kerana, aku sahaja yang tahu dan aku sahaja yang mengalaminya, ia adalah pengalaman peribadi.

Walaupun ini pengalaman sendiri, aku boleh saja menyampaikan dalam pelbagai bentuk kata yang aku suka, apatah lagi ia menjadi hak aku untuk menyatakannya. Namun, aku tidaklah sebebas-bebasnya untuk menulis apa saja menurut mahu nafsu dan akal ku. Aku sebenarnya terikat, tetapi bukan dengan editor atau kod etika penulisan atau dengan sesiapa saja. Aku terikat untuk tidak boleh menulis dengan memperbodoh-bodohkan insan lain. Aku terikat untuk – tidak boleh menghina kesukaan orang lain. Usaha kecil ini rupanya sangat serius – satu tanggungjawab yang sama seperti berkarya dengan lagu-lagu.

Tesis aku sewaktu bersekolah Seni Halus dulu yang berjudul 'Imajan dan Bunyi' telah tergendala buat sekian lama. Antara yang sempat aku selidiki tentang muzik ini belumlah dapat dikatakan cukup mendasar. Benua Melayu kita ini pernah mencipta satu teknologi termaju pada zamannya sebelum meriam, senapang hinggalah rifle yang diilhamkan oleh Mikhail Kalashnikov – tercipta. Menempa gangsa adalah teknologi termaju dan terpenting yang mana ia telah mengembang konsep dan ide yang kini melahirkan piano, keyboard dan synthesizer. Itulah gamelan. Selain itu kita hanya ada instrumen gendangan. Samaada ia gendang Sunda atau Jawa atau rebana itu bukanlah menjadi perkara pokok.

Polemik, wacana dan kajian tentang 'Melayu' masih terus berjalan. Aku tidak akan menambah atau membuat kenyataan yang akan memisterikan lagi hakikat bangsa ini dan akhirnya terus menjadi enigma dan metos yang tak berkesudahan. Yang jelas, sumber kebudayaan melayu ini terkait banyak dan pada semua bangsa.

Himpunan budaya-budaya ini belum dapat menjadikan ia milik bangsa melayu atau menjadikan seseorang itu 'melayu' selama mana budaya-budaya luar itu tidak 'kena' atau cocok dengan sifat dan sikap orang Melayu. Dengan kata lain, orang Melayu sendirilah yang menerima nilai (budaya) dari luar dan bermutasi menjadi budayanya sendiri. Boleh jadi, beginilah salah satu caranya bagaimana budaya Melayu itu berkembang turun-temurun. Lihat saja pakej instrumentasi pada muzik Ghazal, deretan instrumen itu tidak ada satu pun dari ciptaan orang melayu. Begitu juga dengan Keroncong. Namun kesemua instrumen ini melahirkan karya yang 'Melayu'. Bakat bangsa ini di sini – mencipta irama.

Suatu ketika dulu, aku diingatkan kembali pada karya-karya S.Efendy, dan R.Azmi (antaranya). Pada mulanya aku beranggapan ia hanya karya lama (klasik) di zaman ayah ku berseluar yankee. Tetapi baru-baru ini, aku mendengar kembali lagu-lagu mereka. Pandangan aku yang dahulu, kini telah berubah. Aku yakin, karya-karya inilah yang menjadi inspirasi lahirnya ide lagu-lagu melayu zaman ini termasuk lagu-lagu yang kita katakan genre 'Rock Kapak', ' Layan Lentok' dan 'Cinta Lara'. Tetapi konsep karya muzik Malaysia hari ini sudah berbeza dan lama menyimpang dari waktu mula ia menyala.

Aku tidak merasa 'keindonesiaan' ketika mendengar lagu S.Efendy dan tidak pula merasa 'kesingaporean' tatkala R.Azmi menyanyi. Malah nyanyian keroncong dari Sundari Soekotjo atau Tuti Trisedya juga tidak kedengaran asing melodinya dengan aku. Aku percaya, inilah salah satu ciri-ciri yang dikatakan – karya genuin. Karya muzik yang genuin sememangnya bahasa yang mengatasi bahasa-bahasa kedaerahan, melangkaui anutan budaya bersuku-sukuan dan genre-genre karya. Namun, bukan pula bermaksud, kita wajib menghasilkan karya yang serupa sepertimana yang telah mereka perbuatkan. Tetapi maksud aku, lebih menjurus tentang keaslian konsep dan olahan muzik. Mempertahan atau memulihara artifak seni ini bukan tugas rasmi karyawan, malah ia juga tidak bermakna jika ia dilakukan tanpa kesedaran. Ini bukan hal lagu yang 'malar segar' ( evergreen ), sebaliknya ia adalah keinginan berkarya dengan upaya kejujuran kita.

Mengapa aku begitu yakin bahawa karya muzik R.Azmi atau S.Efendy mencetus inspirasi karya hari ini? Apakah hubungannya dengan bentuk karya zaman ini? Soalan ini sangat jelas signifikannya dengan perubahan zaman ini yang cepat, mudah dan ringkas. Konsep muzik zaman S.Efendy atau R.Azmi juga sama – mudah dan ringkas. Dengan susunan kod yang asas, bentuk komposisi lagu yang ringkas dan padat, menjadikan ide muzik ini terus releven. Namun, dalam persamaan konsep ini, masih terdapat jurang yang luas antara lagu zaman S.Efendy dan zaman ini dari segi keaslian iramanya. Ini aku sedari bilamana ciri-ciri keserdahanaan dalam muzik zaman ini telah terabai. Apakah ini godaan teknologi atau ego karyawan zaman ini, tidak pula dapat dipastikan. Yang nyata, karya seperti S.Efendy ini memperagakan mainan elemen yang sangat ekonomis. Dengan kata lain, ia sangat bersederhana dalam menyusun elemen muzik. Kesederhanaan inilah yang melahirkan 'keaslian' karya.

Memahami 'kesederhanaan' bukan sekadar pada saiz penggunaan instrumen atau proses pembuatannya. Kesederhanaan ini juga adalah tanggungjawab moral pengkarya kepada karyanya – deontology.

Dari tesis 'gantung' ke ruang wacana budaya hinggalah ke kamar menghasilkan karya muzik itu sendiri, aku melalui pengalaman yang berbelit-belit. Pengalaman orang menjadikan aku pendengar yang baik dan pengalaman peribadi ini menjadikan aku – juga pendengar yang baik. Aku, mahu jadi manusia yang baik.

Rabu, Julai 14, 2010

TENTANG KOLEKSI – ariapertama | OPUS MEI.

2. Gambus Nuansa – Lagu ni dibuat pada hujung tahun1997. Mula aku perdengarkan pada kawan2 tahun berikutnya. Masa itu, sentimen melayu kami (kawan) sangat tebal. Tahun-tahun inilah politik negara sangat panas. Pada masa itu, kami tidak mempedulikan sangat hal politik kepartian, apatah lagi di Universiti kami hanya menumpukan pada kegiatan seni. Lirik lagu ni aku tulis, lirik yang penuh resah dengan diri dan bangsa. – kununnya.

“…keris tak berhulu” – “..penghulu” – “…membawa menjunjung..menyembah segunung” – semua bahasa lirik ini sememangnya dari jiwa melayu yang sangatlah tipikal. Itu realitinya. Lagu ini tiada apa-apa mesej atau nasihat sebenarnya. Hanya ungkapan di mana plot-plot penceritaannya seperti drama swasta RTM zaman 80-an yang diakhiri dengan segunung harapan.

Dari segi instrumentasi, gambus, mendola dan rebana memain elemen sangat penting. ‘Picking' gambus agak bagus, kita boleh mendengar bunyi pick, tali dan tone body gambus. Terima kasih pada pemetik gambus. Tapi sayang, semua lagu-lagu album ini (Pra-Manifesto) tidak dapat diperdengar dengan adunan bunyi yang siap. Yang ada ini sangat roar. Rentak lagu ini sedikit berunsurkan masri dengan pattern rebana yang sederhana. Dari segi vokal, masih lagi ’dara’. Tempo ini agak perlahan beberapa detik, derasnya tidak begitu ’fit’ dengan degupan jantung pendengar yang lively – cergas. Pick up feel menjadi kurang menonjol, up beat kurang menjadi. Ketika merakam guide lagu ini, aku agak tergesa-gesa tanpa feel the tempo. Itu kesilapan yang tersembunyi

Key A Major, tetapi selepas intro, permulaan versa dengan kod A minor, selepas ulang versa kedua kembali A major. Kenapa begitu? Kerana elemen melodik pada turun dan naiknya tidak sama pada satu not – tidak seperti harmonik. Maka, ini hanya olahan kod untuk mendapatkan feel not yang sedikit berbeza. Untuk lebih lanjut, sila semak skala melodik dan bandingkan dengan harmonik.

Coda lagu ini fade in – cut and out.

Selasa, Jun 29, 2010

TENTANG KOLEKSI – ariapertama | OPUS MEI.

1. Getaran – Lagu ni dibuat pada tahun 1996. Lokasi di Klang Selangor. Masa tu aku duduk sana dan masih belajar di S.Alam. Lagu ni dalam key C. Ali yang menyanyi, dulu kami sama dalam band Siul Murba. Band tu sekarang dah arwah. Ali jadi pelukis sepenuh masa. Aku buat kerja merepek sepenuh masa. Backup singer yang ala-ala sopranos tu kini dah jadi guru – sepenuh masa. Lagu ni dirakam di synchrosound studio PJ. Tahun 2000.

Lagu ni tak sempat mix, jadi bunyi tak seimbang. Hanya ini yang dapat kami curi dari studio setelah tauke (penerbit) yang fund dah jatuh bankrupt masa lagu ni siap. Hahaha. Kalau synchro tau mau disamannya aku. Tapi kalau aku jd dia org, aku tak saman. Buang duit je.hahaha.

Tema lagu ni – Cinta orang tengah gersang – marah tapi saja tak nak marah.
Progresif kod lagu ni aku da lupa, Key C – ada G, Am, F, B-7b5th, D7.
Tempo – Lento
Instrumentasi – D.Bass, Akustik Gitar, Mendolin dan Violin.
Nyanyian Latar – 4 orang SATB – tapi 2nd voice tak nyata sangat sebab tak mix dgn betul.

Sayang, foto-foto semasa rakaman tidak ada. Yang ada hanya rakaman bunyi yang tidak siap. Buat teman-teman – Nikmatilah seadanya.

Lagu lain nanti cerita lain.

Ahad, Mei 16, 2010

KEBANGKITAN

SILA 'PLAY' UTUBE DIBAWAH SAMBIL MEMBACA NOTA INI...

Afghanistan – sebuah tanah yang dulunya subur dan mewah dengan hasil bumi. Masyarakatnya berpuak-puak, namun kepelbagaian itu ibarat tanah yang berjenis-jenis – subur sekali. Menghirup udara tanah ini tidak sama dengan bau-bauan tanah-tanah di tempat lain. Hakikatnya – aku belum pernah pun menjejak kaki di Afghanistan. Ayat-ayat di atas hanyalah gurindam ‘dengar cakap’ dari kisah orang lain. Hahaha.

Kini ( khabar dari berita ), bumi Afghanistan telah tandus ditanduskan oleh warga penjajah yang menjarah. Kasihan pada mereka – walau aku tidak pernah kesana. Aku tahu ( khabar dari berita ), tamadun bangsa ini pernah melahirkan tokoh-tokoh ilmuan yang hebat, penyajak/pemuisi yang agong dan seniman yang mulia. Nama-nama itu menjadi latar sejarah kebudayaan dunia. Negeri Afghanistan ini pernah menjadi kota penting sepertimana Kota Paris, New York atau Mumbai pada ketika ini, neonnya kemerlau – walau aku masih belum pernah kesana.

Zaman moden, tanah ini dijarah oleh Russia, kemudian Taliban (bangsa sendiri) dan kini kuasa Imperialis Amerika. Mereka berperang sudah lebih 50 tahun dengan musuh bersilih ganti, kasihan. Kota yang dulunya mewah seperti Kabul habis runtuh. Tiada sekolah, universiti dan salon. Di tengah-tengah runtuhan kota dan tamadunnya, kini ia mula bangkit sedikit demi sedikit seperti pada berita ini dan di sini.

Buat bangsa Afghan, bergembiralah kerana khabar gembira telah sampai buat kalian.
Buat bangsa Malaysia - insaflah akan keadaan ini.

Isnin, Mei 03, 2010

KITA SEDANG BELAJAR MENDENGAR.

Aku nak berserius kejap di sini…
Hari pertama manusia mengenal dan bertindakbalas pada dunia, pantas menerusi nyanyian – tangisan. Aku sendiri masih tidak mampu mengingati melodi itu sewaktu menyanyikannya, namun jika ada dikalangan teman-teman yang mampu berbuat demikian, ayuh kenalkan aku padanya, aku ingin sangat mendengar mereka ini 'menangis'. Hari ini, kita telah menjadi pendengar kepada nyanyian melodi itu, bagi bayi (mungkin anak sendiri) dan kita yakin, lagu dan nadanya sama sewaktu lampau kita dahulu, malah dulu-dulu lagi sebelum terjadinya yang baru.

Sewaktu sekitar usia 2 – 6 tahun, aku tergolong sebagai anak yang pendiam. Ketawa tidak mengekek macam anak-anak lain, hanya senyum. Bercakap tidak jelas, bukan pelat tetapi memang tidak jelas. Menangis tiada banyak bunyi, hanya linangan air mata tanda sedang bersedih. Ini antara pengkisahan dari orang tua aku tentang aku ketika kecil. Aku tidak peduli sangat tentang kisah purba ini.
Pada satu peringkat usia 7- 12 tahun (aku tidak pasti adakah anak manusia lain juga begitu), aku sering terkhayal mendengar bunyi. Masa itu, mana-mana suara yang aku pernah dengar akan mudah melekat dalam memori. Hingga sewaktu dikelas, guru menggelar aku budak khayal. Ya, memang aku selalu berkhayal dengan bunyi-bunyian, tetapi tiada siapa yang tahu ketika itu, tentang bunyi yang bermain didalam kepala aku. Suara yang aku dengar, ada yang datang dari bunyi suara orang menyanyi, bercakap, menjerit dan macam-macam lagi. Ini bukan suara 'hantu polong' tetapi suara realistik yang aku hadap dengar sehari-hari. Hanya kerana aku mudah menangkap dan mengingati bunyi-bunyi ini maka aku ’terkhayal’ olehnya hingga terbawa-bawa kedalam kelas belajar, langsung aku sering diketawakan. Zaman itu, aku seolah mengalami rasa rendah diri yang melampau, terasa seperti orang cacat. Aku diejek setiap hari oleh teman-teman sekelas sebagai budak yang ’ting-tong’ (sewel). Pantang silap, ejekkan akan keluar. Peristiwa ini masih segar dalam ingatan. Ini antara kejadian yang aku sedari, bagaimana aku mula menyoal tentang bunyi – muzik. Dan, kesemua ejekkan ini lenyap setelah aku berjaya membuktikan sesuatu ketika disekolah dulu.

Aku pernah menyoal emak, telah arwah pun. Waktu itu umur aku 9 tahun. Bagaimana agaknya suasana dan bunyi tatkala aku (kita) dalam rahim ibu? Benarkah ia salah satu tempat paling selamat dan paling hening yang aku (kita) pernah alami? Ketika itu aku mendengar bunyi apa? Dari mana bunyi itu datang? Suara ibu? Pada masa itu (dalam rahim) kita sudah pun dapat mendengar dan menjadi pendengar yang murni, kita tidak mampu mengingati keindahan suara yang kita dengarkan itu. Terlalu indah mendengar hingga kita lupa untuk mengingatinya. Seorang Neurologis, Dr Stefan Koelsch percaya bahawa otak manusia dapat menangkap bunyi dan muzik seawal jasad manusia itu sempurna lagi, namun untuk bertindak balas secara 'orchestrate' adalah satu proses selepas kelahiran. Dan, kita sedang melaluinya kini.
Menyebut tutur kata seperti 'aku' berbanding dengan mendengar perkataan 'aku' itu tidak dapat sama kesannya, apatah lagi sebutan tu bernada. Untuk menyebutnya, selain daripada ransangan dari luar, perlu ada satu desakkan kuat dari dalam diri, desakkan itu sebagai satu upaya keberanian untuk menutur atau melancar pertuturan. Perlu ada paksaan pada diri untuk mula-mula menyebutnya. Dan, ketika menyebutnya akal akan berhenti beroperasi seketika, untuk ketika dan detik di kala menyebutnya – pause. Namun, kita sebagai objek yang mendengar (menerima) bunyi dari suara pertuturan samaada dari diri sendiri atau orang lain, akan mendorong akal untuk galak berfikir. Dikala dan detik mendengar sebutan itu, otak akan mengecam jenis/dimensi suara dan melaras sumber bunyi itu.

Dengan kata lain, sedang kita menutur sesuatu, bekerja atas sesuatu itu, juga merupakan ekspresi luahan dengan segenap upaya diri dan nafas yang ada. Maka akal menjadi pasif kerana otot tubuh proaktif – bertentangan aksi. Sebaliknya, ketika mendengar, kita menjadi observer, kita inhale sense of sound dan otak akan bergerak aktif memproses data gelombang bunyi yang kita terima. Ini semua sebagai satu proses re-aktif kepada otak – maka ia bekerja. Proses mendengar adalah proses awal untuk perkembangan otak dan akal dalam memahami sesuatu. Kerana itu sering kita dengar ulasan – mendengar muzik akan refresh minda kita kembali – refresh – reactive – recharge.

Kita sememangnya mahukan karya-karya muzik yang berkualiti – untuk tujuan apa pun. Namun kita juga memerlukan pendengar yang bagus. Tak mungkin salah satu dapat hidup subur tanpa satu perkara lagi. Kita punya lagu-lagu yang sedap, tetapi kita belum ada produksi yang betul-betul hebat, barangkali. Kita punya pendengar, tetapi mereka tidak cukup aprisiasinya. Bukankah taste atau citarasa ini boleh dididik dari awal usia lagi. Aprisiasi ini penting, bukan hanya untuk muzik – seni, bahkan untuk semua perkara dalam hidup ini. Kesemua yang datang dari aprisiasi ini akan membentuk persepsi kita pada dunia. Dan, dunia ini akan diwarnai dengan persepsi kita itu tadi, jika baik persepsinya maka dunia kita ini akan dibajai dengan hasil kerja yang bagus-bagus. Namun, oleh kerana kita terlalu banyak bercakap dari mendengar, maka otak menjadi kurang aktif. Sedangkan, kita semua masih lagi dalam proses belajar mendengar. Lihat sajalah sejarah muzik kita jika hendak dibandingkan dengan tradisi muzik simfoni di Eropah dan blues di Amerika.

Dapatkah kita bayangkan, kita punya ide yg bagus, bekerja dengan produksi yang bagus, disokong oleh pendengar yang bagus. Apa lagi yang seniman mahukan selain dari pendengar/pembaca/penghayat yang dapat menghayati idenya? Ini sudah cukup indah. Malah ini mungkin menjadi penyelesaian dasar kepada isu kelembapan jualan album di tanahair kita. Bukankah seniman artis bekerja demi satu keindahan untuk dikongsi bersama insan lain. Tetapi malang, kita sendiri yang membiarkan ia kotor dengan gimik yang tak perlu dan ianya berterus-terusan.

Hari ini aku mendengar sebuah lagu, esok lagu lain, lusa dan seterusnya begitu juga. Kalian juga begitu bukan? Apakah pandangan yang telah kita kumpul selepas mendengar semua lagu-lagu ini? Berapa banyak tanggapan yang telah kita buat dari semua muzik yang telah kita dengar itu? Dan, adakah tanggapan itu berbaloi untuk menjadikan diri kita seorang pendengar yang bagus?

Dalam pembelajaran muzik, salah satu aspek yang harus lulus ialah ujian mendengar, latihan mendengar dan belajar jadi pendengar yang baik sebelum memberi orang lain mendengar kerja-kerja kita.
“Dengar wahai teman, dengarkan bersama, aku menulis bukan kerna nama“ – Ramli Sarip.

Rabu, April 21, 2010

HABIS PENAT.


16 April 10
Jam 7 pagi – aku dah bersiap ke Audi Dewan Sivik. Sampai sekitar jam 8.30 pagi. Sepanjang memandu, telefon tidak henti berbunyi. Isi panggilan tu rata-ratanya dengan soalan itu dan ini, tiada langusng isi berbentuk pemberitahuan atau makluman tentang itu atau ini. Aku yang menyambut panggilan hanya mampu untuk menjawab dan menerangkan, tiada peluang untuk menyoal. Inilah rupanya kerja mengurus kerja dan pekerja. Sampai di audi, pekerja dewan sedang sibuk menyapu lantai di lobi, ada yang memanjat ada yang membongkok, sebahagian lagi di dalam audi, juga sibuk mengemas sit, menyapu, mengutip kotor. Ada antara mereka yang datang bertanya mana lagi mahu dibersihkan. Aku minta mereka lihat di mana saja yang kelihatan kotor, maka ia harus dibersihkan. Pekerja-pekerja ini sangat tekun sekali. Suasana agak lengang.

Badan mulai berpeluh melayan pentas yang masih belum cukup sempurna. Ada kru yang hilang, ada yang belum muncul. Grup Hands Percussion sudah sedia menunggu untuk sound check. Mereka ini sampai betul2 tepat pada masanya. Aku segan. Aku rapati mereka dan kami berbual mesra. Tidak banyak perkataan antara kami. Mereka sudah sedia maklum untuk tidak bertanya banyak soalan. Hanya yang perlu2. Hampir jam 11 baru mereka dapat sound check. Sempurna. Oleh kerana ramai yang kesiangan kerana malam tadi habis lewat. Aku lengkapkan bahan-bahan untuk Emcee, montaj, presenter, juri dan hal-hal kepala bana yang lain. Bos sedang membantu aku. Kami berdua sudah kurang bercakap, hanya tangan sibuk bekerja. Telefon berbunyi “ en.mazir ke tu?...em..boleh dapat tiket lagi tak” ayat ini hampir 20 kali aku dengar hari tu. Lepas panggilan ke lima aku hanya mampu menjawab “em..em..em..”. Jika sesiapa salah dengar, bunyinya macam suara orang tengah horny....

Jam 3 ptg. Fresco Harmonica grup sudah tiba, ayu sungguh pengurus grup ini. Dia sedikit basah di timpa hujan. Dia mencari aku ibarat Hawa mencari Adamnya. Kini ketemu sudah, tapi tidak banyak bicara – terus bekerja. Jam 4 mereka berhenti. Kru mulai sibuk, betul-betul sibuk. Kesemua elemen sudah sampai. Badan sudah banjir. Maklumlah, nak sambut ‘menantu’. Menantu sulong pulak tu – poyyyyo betul rasanya. Em, inilah yang dikatakan poy.

Jam 6 ptg. Aku telah mandi. Wangi,tukar baju yang kering. Ye ye or. Masing-masing dah mula meracau kesana kemari. Aku sudah tidak nampak mereka walau kami sama-sama dalam satu dewan. Tap! Short circuit. Kena kat area console, montaj padam. Aku lihat jam sudah jam 7. P..ki..m..k…! Sebentar tadi sudah kering dan wangi, kini lebih basah, lebih banjr dari sebelumnya. Call geng teknikal dewan, seekor pun tak berjawab. Kru-kru dan aku main2 mata saje. Peluh. Suspen. Panik. Power tiada nak projek elemen untuk malam ini. Apa cer bro? Tiba-tiba datang seorang mamat. Tolong tengok, tapi macam tolong buat sibuk. Masa berjalan dan, hanya kru di konsol sahaja yang tahu keadaan ini. Orang lain tidak sedar. Mamat ini terus bergelut mencari punca black out. Cabut sana, cucuk sini, tiada apa2. bypass power sana, tarik masuk sini – sama. Tetamu sudah mulai sesak. Kami terus bekerja. Tak peduli. Aku ‘tekan’ mamat ni. “u jangan balik selagi tak settle power”. Dia mengangguk saja. Kasihan, dia asalnya sekadar nak tolong tengok, kini dah jadi beban tanggungjawab pula. Zalim betul aku.

Jam 7.50. VVIP dan tetamu sudah sampai. Miracle – tiba-tiba..zuuupppp.. power on. Standby. Amin. Ngam-ngam timing. Tak sempat nak merasa lega. Terus ON,

11.30 malam. Lega. Jam 4 pagi baru dapat memandu pulang. Tahniah kepada semua calon dan pemenang. T.Kasih pada semua.

Sembelih ayam pisaunya tumpul,
Ayamnya hidup makan sekoi,
Banyak karya sudah terkumpul,
Menanti detik usahanya berbaloi.



Khamis, April 08, 2010

PERMULAAN SATU SEJARAH BARU.

Sekadar catatan - 'masa' sedang melanyak diri aku buat ketika ini. "Perjuangan adalah perlaksanaan kata2". Sememangnya betul ungkapan ini. Sangat sukar untuk melaksanakan kata2 atau janji2 sekalipun yang berkata – berjanji dan yang akan melaksanakannya itu adalah diri sendiri. Jadi,berhati2lah bila berjanji atau berkata2.

Namun, ini harus diteruskan. Ia pasti akan berlaku. Dan, akan kita laluinya dengan sempurna.

Anugerah ini, tiada lain selain dari tujuan yang sangat sederhana. Merai teman2, yang aku kira – mereka semua, sangat komited dengan kerjanya. 'Merai' itu mungkin bunyi seakan bersahaja. Tetapi merai ini barangkali dengan bentuk menghargai cita2 dan impian mereka (teman2) untuk tujuan – melakukan perubahan. Perubahan apa? Aku sendiri tidak dapat mengatakan bagaimana rupabentuknya. Tentang perubahan ini, aku bukanlah orangnya yang layak menentukan bentuk atau arahnya. Melainkan mereka2 yang memahami 'keperluan dirinya'. Setiap dari kita akan sentiasa meneroka potensi diri. Inilah yang aku maksudkan sebagai 'keperluan diri'. Aku barangkali sekadar 'bertanya'. Pertanyaan aku ini dalam bentuk -penganjuran anugerah- inilah. Pertanyaan ini bersambut dengan 'jawapan' dengan munculnya karya dan timbulnya karyawan muda dari pelbagai ceruk disiplin seni. Terima Kasih.

Sekalipun 'pertanyaan' aku ini bersambut. Tetapi 'sambutan' kepada soalan aku ini bukanlah jawapan yang sempurna dan muktamad. Malah, jawapan yang diberi menjadi satu persoalan lain pula. Gambaran yang diterima amat jelas tentang apa yang sedang berlaku dalam dunia ide pada masa ini. Selepas negara kita dipukul teruk ketika Reformasi 98 dan perubahan selepas Era Mahathir, karyawan muda kita, rupa2nya masih bergelut dengan ide dan bentuk seni mereka sendiri – mereka masih kabur dan kita sedang sangsi melihatnya. Apakah mereka (karyawan muda) sedar bahawa bentuk seni mereka adalah gambaran tentang diri dan intelek mereka sendiri. Dan, gambaran yang aku terima ini agak menakutkan.

Suatu waktu dulu, karyawan muda menuduh, masyarakat kita terlalu mengagongkan karya arus perdana. Mereka terlalu tunduk dengan hagemoni mainstream – kata karyawan muda. Tetapi malang. Karya anak muda, generasi pasca 1998 masih belum mampu memberi alternatif yang sebenar kepada publik. Jangan kita lupa, publik telah berubah selepas Mac 2008 yang lalu. Publik telah bertindak menukar dan berubah terlebih dahulu daripada karyawan muda yang menyangka dirinya lebih kehadapan dari publik. Publik telah berubah, karyawan muda – belum. Jika sudah, jumlah dan isinya terlalu kerdil. Contohnya – karya-karya yang di calonkan di SEYTA.

Usaha ini sememangnya tidak akan sunyi dari kelemahan dan kekurangan. Namun, langkah pertama adalah langkah untuk satu perjalanan yang jauh dan panjang. Hari ini, kita sedang meraikan cita-cita kita.

Jumaat, April 02, 2010

Selangor Young Talent Awards - SEYTA

16 April '10 ( Jumaat )
7.00 Malam
Auditorium Dewan Sivik MBPJ

Untuk mendapatkan Pas Masuk percuma - sila ambil Pas anda di kaunter pendaftaran di venu 1 jam sebelum acara bermula iaitu dari jam 6ptg-7mlm. Jika lewat,tiket anda akan dilelong kpd insan lain. Cepat,tempat sgt terhad.

Selasa, Februari 02, 2010

G Dalam muzik.

Not ke-5 dalam skala natural C. Ada Gb dan ada G#. Fungsi dan prinsipnya sama juga dengan kod-kod lain dalam gugusannya. Jumlah # dan b juga sama. Skala minor dan major juga sama. Apa yang menarik tentang kod G berbanding kod-kod lain? Tiada. Sama seperti kod lain yang saling perlu-memerlukan. Ada beberapa genre muzik yang kebanyakkannya menggunakan key G, antaranya muzik Blues. Bagi instrument seperti Horn in F, not D bunyinya G. Dengan kata lain, not yang berbeza tetapi bunyinya sama – ini juga berlaku bilamana sesiapa jua yang kentot, tak kira lelaki atau wanita jelita, baunya tetap sama – busuk.






Ada lagi tentang G dalam kamus pinggiran ini.






G = Gigs – Gigs ini dipopularkan oleh anak muda, asal perkataan Inggeris Amerika. Ia boleh difahami sebagai ‘persembahan muzik rock’ atau showcase rock. Jarang pula anak muda yang bermain muzik tradisional menggunakan perkataan ini bagi show muzik mereka. Gigs lahir ditengah-tengah genre muzik rock. Walaupun asas gigs ini sama saja dengan persembahan muzik yang lain, namun perkataan itu membawa perbezaan pada music attitude, pemuziknya dan audien-nya . Inilah pendekatan oleh golongan indie (peminat dan pembuat) muzik indie untuk membezakan content muzik mereka dengan muzik-muzik lain. Ada juga yang mengaitkan makna gigs ini dengan band boy yang tiada rekod label. Namun itu sekadar menambah perbezaan yang ada. Jika anda (pembaca) juga ingin menokok tambah – silakan. Andalah yang memberi makna semua ini.


Glee – Perkataan glee saja hanya membawa maksud expresi keriangan atau yang seumpannya. Namun dari segi teori muzik ( yang memandai-mandai ), ia diistillahkan sebagai ‘part of song’. Pada asalnya ia hanya elemen, tetapi kini elemen itu telah menjadi trend dan menjadi sub-genre dari muzik-muzik yang sedia ada. Dengan kata lain, elemen seperti Chorus diambil dari sebuah lagu menjadi satu lagu lain dengan susunan yang baru. Untuk lebih faham, ibaratkan nasi goreng yang kamu telah goreng, kamu ambil dan masak kembali menjadi nasi hangus mak nenek dengan perencah dan perisa yang lain. Maka nasi hangus mak nenek kamu itu kamu jadikan menu baru, harga baru dan dalam pinggan yang baru.


Geli – ini lain. Dalam muzik akan diguna pakai bila penyanyi dangdut itu ‘merengek-rengek’ dan ‘mengerang-ngerang’ dalam nyanyiannya. Maka kita akan merasa mual, nak muntah, nak beranak. Jadi ia ‘geli’. Di Malaysia, elemen ‘geli’ ini semakin popular. Ia akan digunakan bilamana sesebuah lagu atau artis itu kurang popular, maka elemen ‘geli’ ini akan diungkapkan secara berlebih-lebihan.


Gigolo – dalam dunia muzik, ada juga beberapa orang pemuzik yang suka menjadi gigolo dan suka di’gigolokan’ oleh ‘mainstream’. Pemuzik gigolo ini merupakan pemuzik-pemuzik yang loser. Tanda-tanda mereka itu gigolo akan kelihatan bila mereka komplen kerana gagal mendapat kontrak penjaan konsert dari Telcos dan korporat.


Goreng – Istillah budak rock kelengkang (kapak) tentang solo part (gitar). Rock kelengkang ini berlaku bila mana semua gitaris pose gitar mereka dicelah kelengkang. Dan, biasanya mereka akan “goreng tak hengat punya”.


Go – go home….

Jumaat, Januari 01, 2010

DNA Muzik.


1.
Selain dari key, not, bentuk, instrumentasi, tempo dsb. Apakah dasar yang membezakan satu karangan lagu dengan karangan yang lain?

2.
Apa yang menjadi identifikasi permainan antara pemuzik A dengan pemuzik B menerusi sebuah lagu yang sama, rentak yang sama, key yang sama dan instrumen yang sama?

3.
Apakah dia DNA yang menjadikan sesebuah lagu itu punya identiti yang tersendiri sebagaimana satu individu dengan satu individu yang lain?


Kesemua soalan-soalan ini bertujuan untuk melihat keindahan ciptaan tuhan dalam peta minda dan ketelusan jiwa manusia.

Kontuar melodi, dari 1 not ke 1 not yang lain me’reka sebuah naratif masa. Dari detik pertama hingga detik-detik seterusnya. Ini adalah disiplin rakaman masa paling kuno di dunia. Kadangkala kita bercakap melalut-lalut tanpa hujung pangkal. Tetapi muzik, muzik tidak akan melalut-lalut begitu, tidak akan ke‘laut’, malah ia tidak akan beku kaku. Muzik menunjukkan arah – haluan – refleksi – masa.

Hukum masa banyak memberi inspirasi(ide) kepada manusia memahami bagaimana alam berfungsi. A.Einstein menjawab apabila ditanya tentang Teori Relativiti-nya "It occurred to me by intuition, and music was the driving force behind that intuition. My discovery was the result of musical perception".

Nombor-nombor digit yang sedang kita guna hari ini, dalam apa jua kegunaan, juga bermula (tercipta) dari intuisi – imaginasi. Ciptaan muzik menolak imaginasi manusia untuk berimajan dalam bentuk-bentuk rigid yang berbeza-beza, mengikut pengetahuan mereka sendiri. Imajan ini berupa ‘penyelasaian masalah/conflict salution’. Tidak hairan, bagaimana cendikiawan zaman awal, baik saintis bidang perubatan, matematik dan kejuruteraan di sebelah Barat mahu pun Timur, punya aprisiasi yang tinggi terhadap seni. Mereka memahami dasar ilmu.

Kini, dasar ilmu itu sedang ditimbus oleh khayalan pada teknologi. Jua tidak hairan, mengapa insan zaman ini lebih sombong dan kering jiwanya. Ini melahirkan persepsi yang sangat serong terhadap kehidupan umumnya.

Kefahaman tentang DNA muzik ini mencetus 1 keresahan dalam diri. Dengan kepelbagaian sumber masa kini, baik menerusi teknologi, gaya dan tekanan ekonomi, ini memungkinkan aku sesat dalam memahami proses pengkaryaan. Bila kacau berfikir, maka akan kacaulah bekerja.

Bunyi hanya lahir bila ada ruang sunyi. Dengan sunyilah manusia berfikir, sunyi jugalah yang membuka ruang untuk disisi oleh ‘masa’. Kemahiran manusia bermain dengan ‘masa’ hanya dapat ‘membentuk’ naratif sesuatu perkara/tema. Membentuk atau membengkok ruang masa merupakan permainan seni silap mata yang unggul. Masih unggul.

Antara not C ke not E contohnya.
Jika C, maka ia tetap C yang akan menghala ke E. Ia bergerak dengan tempo tertentu (yang telah ditetapkan), dengan instrumen yang sama dan dengan bacaan skor yang sama. Jadi, kesemua persamaan ini pada realitinya akan melahirkan hasil yang sama, kesan yang serupa, namun pada hakikatnya ia berbeza.

Pause (temporary inactivity) – between 2 notes.


Hal ini menunjukkan ‘intuisi’ pemuzik yang bermain dengan not-not dalam persembahan itu secara semulajadinya akan berbeza. Pasti. Sebanyak manapun make up (untuk sama) atau cosmetic (untuk berbeza), ia tetap tidak akan terpadam DNA nya. Artur Schnabel, seorang pianist lagenda. Beliau sendiri pernah mengingatkan bahawa not-not muzik adalah perkara kedua terpenting selepas ‘pause’ diantara not-not ini. Seni itu berlaku ketika ‘pause’. Ketika itulah, detik itulah.

Memahami DNA muzik sahaja belum memadai untuk sukses berkarya. Sebaliknya, ia menjadi dasar buat pengkarya bergelut untuk express and bold identiti muziknya. Sering kita dengar ulasan “Artis itu ada identiti ini,  lagu  itu ada aura ini, muzik ini ada hantu X factor itu”. Hakikatnya, DNA setiap muzik itu sendiri sudah sememangnya berbeza. Tidak perlu make up tambahan. Cari dan Bold kan saja. Contoh mudah, dengarkan Far Elise karya Ludwig Van Beethoven. Tuhan telah mewahyukan keindahanNya menerusi seorang insan pekak yang mencintai Fur Theresa. Kita mendengar, dan sayang, cinta beliau telah gagal. Namun … pause between 2 hearts inilah yang telah mencipta DNA buat kita pelajari !