Selasa, Oktober 31, 2006

ELEMEN 2

HARMONI.

“…begitulah adanya, mereka hidup dengan aman, tenteram dan penuh HARMONI...”- Ungkapan narator mengakhiri cerita.

Harmonium – Harmonika – nama yang berinti kata daripada harmoni. Kita tidak ada mendengar instrumen yang diberi nama ‘melodium-melodi’ atau ‘ritmanika-ritma’ mahupun ‘temponium-tempo’. Justeru, elemen harmoni ini telah memberi isyarat jelas tentang keistimewaannya dalam muzik. Instrumen-instrumen ini pada asasnya dimainkan dengan mengikut melodi yakni bersama-sama dengan nyanyian vokal. Permainannya akan memberi kesan semacam sound chorus ditelinga kita, ia semacam ‘bingkai’ pada melodi. Maka kesan bunyi solo akan mati dan timbul garis bunyi duo atau lebih yang menjadi ‘penarik’ dalam lagu. Perhatikan ( dengar ) lagu-lagu Zapin mahupun Ghazal, mainan harmoniumnya nakal dan meransang sekali. Begitu juga dengan lagu-lagu Country dan Blues, sengau harmonikanya mengkhayalkan telinga. Harmoni merupakan penghubung di atas ‘pergerakkan’ sistem kod (chord), ‘paduan’ diantara nada-nada bunyi.

Disiplin ini merupakan antara disiplin-disiplin yang sangat cerewet untuk digubah. Menyusun banyak nada bunyi pada satu garis melodi bergantung kepada ‘nilai’ kesepadanannya. Nilai kesepadanan ini merupakan depth pada sesebuah ton bunyi. Functional Harmonic merupakan formula asas menghasilkan kesepadanan ini. Ia adalah gugusan pergerakan kod. Harmoni ini wujud pada semua jenis muzik. Lagu-lagu Cathederal merupakan contoh terbaik harmoni. Fungsi harmoni dalam nyanyian gereja ini untuk mewujudkan ruang, jarak serta depth dan ambience. Ruang maya dimensi muzik adalah tools bagi manusia menghayati sesuatu. Tanpa ‘ruang’ manusia akan menderita batinnya.

Dalam nyanyian ritual Islam baik berzanji, marhaban dan nasyid, terdapat banyak bahar-bahar atau jenis melodi. Antara bahar punya keunikkan tersendiri. Secara teorinya, tiada sistem khusus berkaitan harmoni dalam nyanyian seperti ini. Dengan kata lain, tiada nyanyian harmoni, sebaliknya, nyanyian beramai-ramai. Namun dalam disiplin muzik ia dikelaskan sebagai aturan muzik ‘langgam’ atau bebas secara by heart/feel/instinct ( ikut naluri – ikut suka kau la! ).
Kita biasa mendengar nyanyian/suara-suara mengaji/tadarus/berzanji/marhaban mahupun dalam tahlil, suara ketua Qari kumpulannya atau dengan bahasa di kampong-kampong digunakan sebagai ‘orang yang mem-bawa’ lagu umpamaTenor akan mengimbau jauh kedepan diikuti di belakang suara makmum ( tertib yang tidak boleh mendahului imam ), akan bertingkah-tingkah dan bersahut-sahutan nada tinggi dan rendahnya, panjang dan pendek harakatnya, kelihatan tidak begitu tersusun namun ketidaksusunan itulah susunannya. Secara teknikalnya kekhusyukan dan keasyikkan itu datang dari ‘gema’ ratib sama seperti nyanyian di gereja.

Dalam dekad ini telah banyak kumpulan nasyid yang menggelarkan diri sebagai ‘kontemporari’. Benar, anjakkan dalam kaedah gubahan harmoni itu telah wujud, sudah ada hingga ke 5th voice. Walau bagaimanapun, atas hal pengharaman suara wanita dalam nyanyian maka peranan Soprano dan Alto diketepikan, kerana itu tiada disiplin khusus yang boleh dijadikan sumber rujukan bagi kes harmoni ini dalam disiplin muzik ritual Islam walau terdapat juga kumpulan nasyid wanita yang berlagu, tetapi tidak lengkap sebagai perfect harmony. Untuk mencapai keseluruhan harmoni, not ( nada bunyi ) sebagai suara nyanyian harus digubah dengan bentuk paling maksimum, maka di sinilah titik pemisahan antara Halal dan Haram dengan penerokaan ilmu dalam pandangan Islam mengenai penglibatan suara wanita dan juga penekanan terhadap ‘kesederhanaan’ dalam pelbagai aspek termasuk muzik.

Soprano – Alto – Tenor – Bass ( SATB ) adalah jenis-jenis suara/bunyi. Ia mula aktif digunakan sejak abad ke 14 lagi, pada peringkat awal, penggunaannya dominan di pementasan Opera Klasik, Mozart ( abad ke 16 ) “...bagaimana ( suara/bunyi – not ) dari double kepada trio, dari trio menjadi triplet, dari triplet mencipta quartet…quintet…septet...architect dan seterusnya hingga kesemuanya menjadi perfect harmony…”

Al-Farabi telah mencatatkan ( asas ) kod ( 1-3rd-5th ) dan penggunaan Seventh ( 7th) Chord di dalam aturan muzik yang bermaksud 7th ini adalah ‘nilai tambah’ atau add note. Contohnya Triad C = Root C – 3rd E – 5th G dan apabila di 7th menjadi Root C – 3rd E – 5th G + 7th Bb. Disebalik nilai tambahnya, add chord ini menjadi ‘penghubung/jambatan’ kepada chord seterusnya – passing chord, Ini menjelaskan lagi pergerakkan harmoni dalam satu garis muzik. Beza antara Mozart dan Al-Farabi mungkin hanya dalam aspek methodology, iaitu, Al Farabi menyusun harmoni di dalam instrumen muzik sedang Mozart meletakkan harmoni pada keseluruhan muzik, pada instrumen dan juga suara manusia, lelaki dan wanita.

Dalam pengetahuan umum masyarakat kita, apabila disebut tentang ‘harmoni’ sering dirujuk dengan lagu-lagu patriotik. Mengapa? Telah dijelaskan fungsi harmoni dalam komposisi lagu, iaitu ‘paduan suara-suara’. Elemen ini hanya akan lebih efektif apabila digubah dengan komposisi lagu berbentuk folk music atau lagu rakyat. Lagu rakyat tidak semestinya lagu patriotik. Banyak lagu rakyat yang sekadar lalabies. Lagu patriotik diberi nama kerana kesan nyanyiannya iaitu memberi ‘semangat kebangsaan – puak/kaum’ secara khusus, itulah patriotik. Bukannya genre lagu! Namun tidak pula salah untuk ‘mengenre’kannya.

Dalam budaya multiculture seperti Malaysia ini, nyanyian lagu secara ‘langgam’ lebih memberi impak dari nyanyian koir yang sangat tipikal gubahannya di Malaysia ini. Lihat saja lagu Negara Ku. Entah berapa kali digubah, tetapi selera untuk menyanyikannya masih tumpul. Bel Canto pernah dipersembahkan di Istana Budaya suatu ketika dahulu, ya..memang hebat. Namun nyanyian ‘anak itik tok wi’ dengan gaya nyanyian langgam lebih patriotis lagi kesannnya dari komposisi yang artificial sifatnya. Kerana apa? Lagu folk memang datang dari selera rakyat bawahan, bukan golongan elit, maka lagu-lagu seperti inilah yang wajar diangkat sebagai lagu Kebangsaan – yang jelas telah menjadi himpunan kolektif jiwa rakyat sejak berzaman, sungguhpun komposernya ….wallahulam.

Harmoni adalah tanda wujudnya titik temu ( kepentingan bersama ) dalam manifestasi kehidupan manusia yang berbudaya dan bertamadun. Harmoni telah menggambarkan kehidupan secara kolektif, bersama-sama meraikan pengalaman dan pencapaian masing-masing. Maka sesuai benarlah ungkapan narator ini. “…begitulah adanya, mereka hidup dengan aman, tenteram dan penuh HARMONI...”-

Khamis, Oktober 12, 2006

Apa itu Muzik

APA ITU MUZIK?

Telinga merupakan salah satu pancaindera yang amat penting lagi diperlukan. Ia juga merupakan deria yang amat sensitif pada persekitaran. Tidak kira dalam keadaan bingit mahupun senyap. Penjagaannya amat perlu bagi semua manusia, kita harus sentiasa membersihkan corong telinga dari kekotoran. Bagi mereka yang tidak membersihkan telinganya boleh dijangkiti kuman…bahaya!.

- Petikan dari buku inseklopedia kanak-kanak bertajuk ( ANGGOTA TUBUH KITA ) dengan sedikit suntingan kata-kata oleh penulis..

Dulu sewaktu bersekolah rendah, aku punya seorang teman yang baru bertukar ke sekolah tempat aku belajar. Dia ini budak baik, pendiam dan punya perwatakan yang sederhana. Waktu belajar dia belajar, waktu makan dia makan, waktu solat juga beliau tidak tidur. Boleh dikatakan teman aku ini adalah pelajar yang tidak mendatangkan masalah langsung pada sekolah. Namun dalam setiap rutin kami di sekolah ada satu rutin yang beliau terlepas untuk ambil bahagian, iaitu kelas muzik. Di sekolah aku, subjek muzik dikendalikan diruang kelas yang khas, tidak dalam bilik darjah biasa, jadi waktu berpindah kelas inilah kami sering kehilangannya Kami rakan-rakan sekelas mula tertanya-tanya...

Persoalan kami itu tidak perlu menunggu waktu yang lama untuk dijawab. Aku orang pertama yang mendekati dan bertanyakan hal tersebut. Dia tidak menjawab sebaliknya dia mendekatkan telinganya ke muka ku “ Nah ! tengoklah telinga aku ”. Aduhai, kasihan. Telinganya berdarah bercampur nanah. Rupanya dia menghidap sejenis penyakit telinga. Pendengarannya tidak jelas. Di kelas, teman aku ini duduk dibarisan paling hadapan dan paling berdekatan sekali dengan meja guru. Guru-guru mahu pastikan beliau dapat mendengar dan faham setiap subjek yang diajar. Aku bertanya mengapa dia tidak ke sekolah khas, menurutnya dia tidak dianggap sebagai insan pekak sebaliknya hanya menghidap sejenis penyakit telinga. Maka dia tidak layak bersekolah khas. Kini barulah aku sedar sebabnya.. Semenjak itu, pada setiap penghujung sesi persekolahan, ketika sama-sama menunggu bas aku pasti akan luangkan masa seketika dengan teman ini untuk berbual-bual. Perbualan kami bersekali dengan bahasa isyarat tangan. Aku tidak tahu bagaimana rasanya hidup yang sentiasa berada di dalam keadaan yang sunyi dari suara dan bunyi.

Sunyi…bunyi...senyap...suara... Disusun dan tersusun pada tempoh waktu tertentu. Mak Enon di kampong ku berkata ‘sound and silent organized in time’. Itulah muzik. Semenjak dari zaman pertengahan lagi manusia mencari makna muzik. Bermula dari Medievel Period – Renaisance – Baroque – Classic – Romantic – Blues – New Orleans Style of Dixieland hinggalah Jazz – Rock dan Pop. Namun perkataan-perkataan seumpama ini masih belum mampu memuaskan jiwa yang berkehendakkan muzik dan pengertiannya. Muzik bukan seperti Catan yang statik, mendengar muzik harus diam, dengar dan tunggu sehingga ia habis dimainkan. Catan berorientasikan ruang ‘optik’ dan ruang ‘minda’ sedangkan muzik berasaskan ruang ‘masa’ manusia. Kesemua kerja-kerja seni adalah bahasa jiwa dan minda. Ia reflection dari pengkarya atau pemikirnya. Beza hanya medium dan tools.

Permainan masa ini memerlukan kekuatan psikologi. Kerana itu sering dianggap komposer ini unpredictable. Bagi yang addict pula kelakuannya bisa diluar jangkaannya sendiri. Namun apabila kita mengambil kira nature kerja muzik ini tidak keterlaluan aku katakan itulah juga nature seorang komposer. Ketika sedih komposer akan benar-benar sedih hingga dia sendiri tidak tahu bagaimana dia bisa sedih sebegitu rupa dan begitulah seterusnya dalam emosi lain. Orientasi dan ciri-ciri muzik ini memang membebankan pengkaryanya. ‘Masa’ wajib diisi dengan sesuatu yang baik, sesuai dan bermakna. Mengetengahkan ‘idea’ pula harus disulam bersama emosi yang sejujur-jujurnya, tidak dibuat-buat.

Di Eropah, hasil penyelidikan sains pada akhir kurun ke 17 telah menyedari bahawa selain nature muzik yang dicetus dari manusia, terdapat satu nature lain ( luaran ) yang amat besar peranannya pada muzik. ( sebelumnya, penemuan ini berlaku lebih awal di sebelah Asia Timur, tetapi tiada mass production dilakukan hasil dari penemuan itu ). Ahli fizik telah menemui elemen ‘getaran’ atau vibration pada muzik. Dari situ berlakulah penemuan wave dan seterusnya accoustic. Setiap benda yang – bertembung – bergeser – akan menghasilkan vibration. Ia bergerak di udara sebagai sound wave, di kenali juga sebagi frekuensi bunyi. Penemuan ini telah menjadi titik mula berkembangnya muzik dan teknologinya diseluruh dunia hingga ke hari ini. Revolusi inilah yang telah melahirkan legenda – lagenda muzik yang kita kenal sekarang.

Namun, perkembangan teknologi muzik tetap memerlukan keupayaan kreativiti manusia, lihat contoh bagaimana pada era awal muzik moden, Beethoven dengan bijak mengadaptasi bunyi nature iaitu daripada ‘bunyi‘ ketukan kayu kepada sebuah chamber muzik yang besar lagi harmonis dengan scale yang tepat. Bagaimana ia lakukan sedangkan di zamannya tidak terdapat langsung radio, pita rakaman, auto tune apatah lagi CD!. Bagaimana pula Beethoven yang pekak badak boleh menghasilkan simfoni? Bagaimana beliau mengenal not hanya dengan melalui vibration ( getaran ) sahaja? Dan bagaimana pula beliau menikmatinya? Semua ini bukan misteri Buloh Betong tetapi ini sains dan disiplin ilmu. Ini muzik.

Al Ghazali telah menukilkan sebuah madah “ muzik ibarat tahi lalat di muka, ia kelihatan manis tetapi jika terlalu banyak tahi lalat ia akan membuatkan muka jadi hodoh ”. Kita sedar pada realiti. Muzik kini bukan lagi sekadar menjadi gaya hidup dunia moden tetapi telah menjadi satu keperluan, seperti kopi, teh dan pakaian. Dari piring hitam hinggalah caller ringtone, semua itu muzik – yang sentiasa akan menghiburkan manusia. Kita pada asalnya hanya memiliki kehidupan serba ringkas, dari bercucuk tanam, mengembala, beramal ibadat, berkeluarga dan membiak seperti fitrahnya, namun kini perjalanan hidup semakin kompleks, nilai dan survival hidup telah berubah. Maka muzik dilihat sebagai suatu unsur yang memainkan peranan sebagai alat untuk manusia meluah rasa, berkomunikasi dengan harapan dan impiannya. Apabila sesuatu hal mencapai tahap menjadi ‘keperluan’ maka adalah ‘wajib’ keperluan itu di tunaikan kepada yang berhak menikmatinya.

Teringat pula pada teman aku yang menghidap penyakit telinga itu. Beliau pernah memberitahu yang beliau ingin belajar bemain piano tetapi dia tidak dapat membezakan bunyi yang betul atau tidak. Dia menambah, jika kelak dia mampu bermain piano, pasti lagu Sudirman Hj Arshad yang menjadi pilihan untuk dia mainkan. Hari terakhir aku di sekolah rendah, dia masih lagi menghidap penyakit itu, namun aku bukan Beethoven yang mampu menterjemahkan keindahan muzik buatnya, maka untuk kali terakhir sempat juga aku nyanyikan sebuah lagu untuknya sebagai tanda kenangan, lagu penyanyi idolanya, Sudirman. Beliau tersenyum, tetapi aku tidak tahu samada senyumannya itu kerana dia mendengar dan terhibur dengan nyanyianku…. atau tidak. Hahahaa…
















Rabu, September 27, 2006

ELEMEN 1.

RITMA ATAU IRAMA ?

Dalam kamus Dewan Edisi ke 3 ‘ritma’ diertikan sebagai *pertama – drama yang teratur dan agak halus, dan apabila merujuk apa itu ‘irama’ *kedua ditemui pula satu makna yang berbeza iaitu – ukuran masa atau tempo ( pada muzik ). *ketiga, tempo – ukuran waktu pada muzik ( ingin di ingatkan, tempo adalah elemen lain dari ritma ) Terpanjang daripada itu juga ada mencatatkan – gerak yang mengikut rentak/irama, ia kembali semula pada pangkal makna yang pertama. Di perhalusi maknanya, tidak jelas sama sekali. Demikian ‘bahasa’ melayu menakrifkan makna perkataan ini. Sekarang kita lihat bagaimana disiplin muzik memberi makna pada elemen-elemennya. Rhythm diertikan sebagai – ‘The element that pertaining to time, played as a grouping of notes into accented and unaccented beats’. ‘Mak Enon’ di kampung saya meringkaskan sebegini how note or chord placing in time.

Di sini, punya 2 aspek penting. 1.Makna dari aspek bahasa. 2.Makna pada disiplin ilmu yang khusus contohnya; Bidang perubatan atau sains atau muzik. Apa yang mungkin dijelaskan dalam kamus bahasa Melayu itu barangkali kefahaman dari sudut penggunaan bahasa Melayu yang di gunapakai dan diterima secara umum. Tetapi bukan dari fungsi perkataan itu yang merujuk pada disiplin ilmu yang khusus, iaitu muzik.

Bahasa punya jiwa untuk dijiwai, fungsi untuk dilengkapi, menterjemah bahasa tidak sama dengan memahami fungsinya. Di Malaysia umumnya, pengertian dari bahasa Melayu seperti inilah yang menjadi dimensi fikir masyarakatnya. Tidak kira apa jua golongan, asas menafsirnya beginilah – Tidak merujuk kepada disiplin ilmu yang khusus. Kekurangan atau kelemahan inilah yang menghasilkan kualiti kerja yang rendah mutunya. Di Malaysia sendiri, perbendaharaan kata muzik dalam bahasa Melayu tiada. Sebaliknya, jika terdapat sebarang isu berbangkit seperti ‘irama atau ritma’ ini, pasti kefahamannya akan merujuk kepada fungsinya dalam hal-hal kebudayaan yang sangat umum sifatnya. Tidak objektif. Ini bukan manifestasi yang mengutamakan nilai ekspresi sahaja, ini kefahaman asas.

Bermula dari pengetahuan yang serba kekurangan inilah maka kebanyakkan golongan seniman, khususnya komposer Malaysia bekerja dan menghasilkan karya dengan latar kefahaman sebegini, secara sedar atau tidak, lihat sahaja karya-karya yang ada. Kita bandingkan dengan karya-karya yang latar kefahamannya lebih jelas dan terarah.

‘Diari seorang Lelaki’ dari band PRETTY UGLY. Komposisi karya ini kita rasakan amat bagus, ia charming. Ini muzik Pop. Elemen fussion Jazz sedikit kedengaran. Melodi dan point of cadence sangat menarik, tetapi muziknya tidak begitu meresap dan menangkap hati. Synchronisation antara rhythm gitar dengan bass line agak parallel. Ritmanya tidak cukup ‘motivate melody’ kepada pendengar. Rhythm section DSL ini seharusnya ( barangkali ) lebih konstruktif dan nyata sepertimana ‘soul jazz’ itu sendiri, dengan corak up-beat, punya attacking part yang jitu. Di sini, part untuk mereka ‘bancuh’ hati pendengar terbiar begitu sahaja. Rugi! Ini memberi kesan kepada mutu lagu keseluruhannya kerana fungsi ritmanya belum cukup develop atau memang mereka sekadar mahu bersantai-santai saja dengan ritmanya, nothing more. Hala tuju muzik ini tidak diketahui samaada mahu fussion Rock atau Jazz atau kedua-duanya atau apa. Pendengar memang gemarkannya, tetapi mereka juga mahukan sesuatu yang lebih jelas. Bukan hanya pada lirik.

Dalam pada itu, terdapat juga komposisi lagu yang tidaklah begitu hebat tetapi berjaya menarik perhatian pendengar. Kita lihat ( dengar ) karya dari seberang yang bertajuk ‘Sedang Ingin Bercinta’ dari grup DEWA 19. Mengamati melodinya, jelas tiada apa yang terlalu istimewa, apatah lagi lirik dan temponya, sederhana saja. Lupakan tentang genrenya, dengarkan saja. Kesannya, kita boleh sustain mendengar hingga lagu itu tamat di putarkan. Mengapa?
‘Barangkali’ rhythm section pada komposisi muziknya yang synchronized dengan baik. Tempo yang sederhana deras, lead dan rhythm guitar digubah kemas, peranan riff gitar yang amat menyenangkan. Di pertengahan lagu strumming gitar adlib antara melodi sangat menonjol. Keseluruhan rhythm section yang agak teliti, kuat. ‘Keseriusan’ Dewa ‘kedengaran’ di dalam gubahan ritma pada lagu ini. Mereka sedar di mana mahu ‘balun’ jiwa pendengar. Placing ritmanya menarik, sesuai ‘banget’ dengan komposisi muziknya. Tidak terlalu advance tetapi cukup untuk menjadikan telinga pendengar sustain pada lagunya. Ini sesuai dengan music terminology seperti di atas, iaitu ritma – how not and chord placed in time.

Rhythm section adalah persoalan instrumentasi dan susunan muzik. Ia motivate lagu dan ritma pula motivate melody – inilah fungsi ritma. Sejauh mana keberkesanannya tetap bergantung kepada keinginan dan kefahaman individu yang berkarya. Feel individu kekal sebagai unsur utama. Feel ini pula kadangkalanya datang tanpa kefahaman, ini biasa terjadi tetapi inilah juga masalahnya. Kita gagal untuk define antara keperluan dan kebebasan berkarya. Ini bukan persoalan genre muzik atau teknik-teknik tipikal, tetapi ini fundamental. Foundation yang kukuh dengan idea yang jelas serta feel yang genuine pasti akan memberi hasil yang ‘lumayan’.

Muzik tetap muzik walau bahasa melayu punya makna lain bagi ritma – ia harus meransang!. Makna yang berfungsi.