Jumaat, Januari 19, 2007

Sunyi.


Apakah "sunyi" ini ?. Adakah ia sejenis benda? atau sekadar ungkapan rasa pada kata-kata? atau ia merujuk pada "ruang" fizikal atau "metafor" atau apa ?


Pernah suatu ketika dulu seorang teman rapat berbicara mengenai sunyi, dia graduan dari salah sebuah penjara di Utara tanah air. Banyak cerita yang dikongsikan bersama. Humor ada, sedih ada, sadis juga ada, tetapi seram tiada barang satu pun. Namun, antara yang menarik perhatian ialah kisah – sunyi – ini.

Mereka yang rutin hidupnya ditentukan oleh orang lain akan mengalami masalah keletihan batin, desire mereka hari demi hari menjadi semakin tumpul. Emosi tidak stabil. Mereka juga mengalami masalah memori yang teruk. Kesemua ini membuncitkan tekanan jiwa.

Seorang teman lain pernah berbicara, katanya “saat yang paling sibuk dalam hidup sesorang ialah sewaktu dia dipenjara” kerana ketika itulah mereka memikirkan tentang pelbagai perkara, antaranya – bagaimana beliau boleh ‘kantoi’ – hahaha... Malah mereka juga sibuk merancang hidup selepas dibebas kelak ( yang bukan sabit ke tali gantung laa ). Bagi yang terpenjara jasadnya, fikiran mereka wajib berkerja, jika tidak, mereka akan gila. Jadi, tiada ruang untuk mereka merasa sunyi – katanya . Maka apakah kisah sunyi ini satu propaganda sasterawan?

Seorang teman lain yang - 'lain' hahaha…juga ada berkata “hari-hari aku busy, masa makan pun kena review kerja, tapi kadang-kadang aku rasa lonely lah..”. Pembaca mungkin dapat menangkap maksudnya. Jadi, dimanakah letaknya – sunyi – ini.?.

Sahabat penulis yang - 'lain dari yang lain' ooo..huuhuhuhu….seorang penggubah lagu. Selalu pergi bercuti, katanya mahu mencari ilham. Di K.L bising – ‘jerit’nya, dia mahukan kesunyian, di situ barulah beliau boleh mendapat ilham dan mengarang lagu. Barangkali pembaca sudah boleh melihat bagaimana bentuk – sunyi – ini.

Bagi mereka yang pernah mengalami salah satu atau semua dari kisah-kisah ini, barangkali mereka tahu apa yang dikatakan sunyi – sepi – senyap – hening – tenang – atau apa saja yang bisa dirujuk sebagai – sunyi. Makna ibarat prisma kristal yang amat menyilaukan mata dengan bias cahayanya. Untuk itu biarkan saja sunyi dengan maknanya dan nikmatilah kesunyian dengan sebaik-baik nikmat kerana sunyi juga adalah muzik. Dengan sunyilah maka bunyi bisa berbunyi. Namun, apabila manusia sudah tidak lagi mampu berangan-angan dan berfikir maka barangkali inilah dia kesunyian yang benar-benar – sunyi.

Rabu, Januari 03, 2007

ELEMEN 4.

Dinamik Antara Mesin dan Manusia.

Manusia perlu rehat untuk lebih bertenaga, untuk rehat yang baik harus tidur. Tidur yang berkualiti datangnya dari persekitaran yang tenteram yakni, tanpa gangguan. Kefahaman ini melahirkan golongan manusia yang tahu erti kualiti hidup. Namun, disiplin yang baik ini juga bisa melahirkan golongan manusia yang kurang memahami hubungan dirinya dengan perubahan alam sekeliling. Golongan ini tidak boleh tidur sekiranya terdapat gangguan bunyi, tidak kira dalam apa jua kadar sukatan kekuatan bunyi itu mahu pun pendedahan terhadapnya. Ini konsep tidur, bukan ‘tertidur’. Membiasakan diri dengan sesuatu perkara merupakan permulaan untuk melupakan ‘rasional’ bagaimana ‘kebiasaan’ itu berlaku.

Kes ini berhubung kait dengan sound intensity dan mind focus. Tanpa sedar, sering terjadi bunyi yang kedengaran halus tetapi bisa mengganggu tumpuan kita kerana bunyi ini tinggi intensitinya, ini bererti tinggi paras Treble atau Amplitude nya, contoh; bunyi Transmisi Televisyen tamat siaran – bunyi 'Ping' yang halus dan panjang. Ini bunyi dari electronic devices, ia statik iaitu tanpa kawalan treble, sekadar volume saja. Bunyi ini tidak bising tetapi tinggi paras amplitude nya, ujian secara rawak menunjukkan pada Tuner Meter + 25 Degree. Ini bermakna terdapat lebihan ketajaman ( over sharp ) bunyi. Bunyi electronic devices yang tajam ini boleh menerobos diruang udara hingga kesuatu jarak yang jauh, apabila tenaga ini diubah kepada sukatan gelombang sound transmeter, ini dikenali sebagai frekuensi.

Terdapat beberapa frekuensi yang bisa memberi gangguan pada telinga dan seterusnya minda. Berbeza dengan bunyi lantakkan cerucuk contohnya, ia memang menggegar tetapi belum tentu memekakkan walau paras desibelnya tinggi, bunyi groovy metal lantakkan cerucuk adalah bunyi akustik dari bahan semulajadi ( nature ). Intensiti bunyi nature amat mudah diserap oleh persekitaran, ketika merentasi ruang atmosfera, ia akan diserap oleh persekitaran yang sama sifatnya, juga dipengaruhi oleh faktor jarak dan ruang, maka secara teorinya bunyi ini tidak mengganggu telinga sekaligus minda, maka manusia ( dengan usaha ) masih boleh mengalih fokus mindanya pada perkara lain seperti – tidur.

Bunyi boleh dibentuk melalui – pitch – duration – amplitude – timbre. 4 perkara inilah yang menjadi elemen bunyi yang bisa digunapakai oleh manusia dalam hidupnya. Untuk membentuk bunyi perlu pendengaran yang tajam dan kehalusan idea muzik. Di sinilah titik perbezaan antara bunyi mesin dan bunyi dari sentuhan manusia – sentuhan dengan rasa.

Satu bunyi dari satu not ( tidak kira tinggi atau rendah ) yang mengikut dinamik iaitu dari senyap dan berkembang kuat dan menguncup kembali akan memberi kesan perasaan raising up and down secara tersusun dan kemas. ‘Pujukkan’ ini memberi memotivasikan pendengar menghayati keindahan mahupun kisah dalam sebuah karangan muzik.

Jelas, Haaanya… manusia sahaja yang tahu nilai dan kesesuaian bagi kehidupannya. Haaanya… manusia yang tahu kadar kekuatan bunyi yang ingin diterimanya. Mesin sekadar membantu manusia dalam mencapai maksud itu. Dinamik harus ada flow dan direction. Haaanya… manusia sahaja yang boleh melakukan kedua unsur ini.

Not, melodi, tempo, bentuk dan kesemua elemen muzik tidak akan sempurna persembahannya tanpa kesan dinamik. Kesemuanya akan menjadi statik, jika bergerak ia akan parellel, bunyi mesin industri akan mengambil alih, maka telinga dan jiwa akan menjadi keras dan mati, kesannya amat negatif. Muzik Disko merupakan contoh terbaik muzik yang kurang dinamiknya, maka ia seperti dadah, semakin banyak diambil semakin worse. Justru, dinamik memberi suatu nilai yang membantu kita mencapai konsentrasi dan ketenangan mendengar muzik, seterusnya memberi impak terhadap tanggungajawab hidup yang serba mencabar.

Jumaat, Disember 01, 2006

ELEMEN 3.

MELODI – jiwa vs intelek.

“…seri meresing (mersing) …lagulah melayu …di karanglah oleh biduan dahulu …Hati ku runsing bertambahlah kacau …mengenangkan nasib…mengenangkan nasib…yatimlah piatu…”
- Keratan lagu berjudul Sri Mersing.

Melodi lagu ini amat indah sekali, ia memberi kesan imajan yang besar pada minda kita. Lagu ini telah disesuaikan dengan sebuah filem. Judulnya juga Sri Mersing, mengisahkan kehidupan masyarakat melayu yang penuh dengan emosi dan sarat dengan tragedi. Inilah tarikan utama selera seni bagi manusia – khususnya masyarakat Melayu.

Nota kali ini tidak perlu rasanya untuk spesifikkan makna ‘melodi’ ini, walaupun memang terdapat makna yang mengkhusus dalam music terminology namun biarlah pembaca sendiri menyimpul dan memahami maknanya sendiri. Ini barang pasti Melodi adalah sesuatu yang cair sekali pengertiannya. Secara tidak langsung, ia sebagai satu kepercayaan yang wajar diberikan kepada pembaca, sesuai dalam konteks kebebasan untuk menyimpul, berfikir dan berekspresi. Ia juga merupakan hak yang wajib diberi, diambil dan dinikmati bersama.

Dalam sesebuah karya muzik, melodi menjadi ‘nyawa’ karya tersebut. Tanpa melodi tak mungkin wujud sebuah lagu. Pada melodilah tempat segala cerita diceritakan, disitulah letaknya suara penyanyi, nafas, lirik, energy dan attitude lagu secara keseluruhannya. Elemen-elemen lain bertindak sebagai penyokong cerita. Sama pentingnya tetapi keutamaan yang berbeza.
Pada umumnya kita memahami melodi itu dalam bentuk yang dinyanyikan oleh penyanyi dan berlirik, namun ada kalanya melodi ini hanya bersifat bunyi-bunyian sahaja atau dengan maksud lain, komposisi. Bagi nyanyian berlirik yang digubah semula menjadi melodi bunyi semata-mata, namanya instrumental. Bagaimana hendak membezakan antara melodinya dengan elemen lainnya? Melodi bisa berdiri dengan sendiri tanpa irama, tempo tertentu atau lain-lain elemen. Tetapi elemen-elemen seperti ritma, tempo tidak akan sanggup berdiri sepertimana berdirinya melodi. Buktinya, kita bisa bersiul bersahaja-saja tanpa bantuan sebarang instrumen lain, masih boleh berhibur, bebas sebebasnya, sedangkan untuk mendapatkan elemen selain dari melodi, harus punya instrumen setidak-tidaknya bertepuk tangan atau memetik jari dan ia juga terikat pada disiplin-disiplin tertentu – masa.

Melodi memerlukan manusia sebagai ‘instrumen’nya, instrumen ini hidup, bernyawa, berperasaan dan berakal. Melodi lahir apabila komposer berekspresi. Ada yang bermula dari berfikir, ada juga yang bermula tanpa berfikir langsung. Ekspresi ini berhubung kait dengan latar hidup komposer ( instrumen ).

‘Instrumen’ ( manusia ) yang ‘sofistikated’ ini akan bergabung dengan melodi yang pada asasnya bercirikan metafizik. Manusia hidup dalam persekitaran yang serba mempengaruhi. Ia bekerja berdasarkan pengalaman lalu. Ia juga menghasilkan sesuatu bagi tujuan tertentu. Pengkaryaan adalah kerja-kerja intelek. Idea melodi datang dari keadaan ini. Desire pencipta merupakan unsur utama yang akan mewarnai karyanya. Pengalaman dan motivasi komposer yang ada di Malaysia telah melahirkan karya-karya yang banyak jumlahnya, baik yang boleh dibanggakan mahupun karya-karya yang telah terkambus dalam lipatan sejarah.

Golongan karyawan dalam industri muzik di Malaysia khususnya dalam bidang muzik, mempunyai latar pemikiran yang sejalur. Iaitu, mengukur muzik melalui imbalan material semata-mata. Ia tidak salah, tetapi tidak betul. Tidak salah kerana itu ‘hak’ masing-masing dan setiap kerja pasti mahukan pulangannya, semua orang tahu. Tetapi tidak betul secara prinsipnya kerana dunia kini pada asasnya berjalan dengan sebuah sistem perdagangan yang berasaskan idea. Idea ini bukan material. Ia intelek. Bagaimana mahu menjual muzik jika melodi karangannya tidak enak? Atau, untuk mendapat karangan yang bagus, harus mempelbagaikan dimensi idea, kepelbagaian itu menanya persoalan tentang kebebasan.
Sekarang, apakah kebebasan bekarya itu sudah ada? Jika tidak, bagaimana pula mahu mendapatkan kebebasan bekarya? Jika ada, apa pula kesannya, baik pulangan mahupun pencapaian yang ada? Apakah pula maknanya kebebasan berkarya?

Penciptaan dan pengolahan melodi merupakan proses utama dalam penghasilan sesebuah karya. Ia memberi kesan terus kepada penghasilan lirik, tempo, mood dan seterusnya kepada gubahan muzik secara keseluruhannya. Jadi, apabila proses utama ini tidak disokong oleh kesedaran intelek yang jelas, maka keseluruhan karya akan turut kabur bentuk dan arahnya. Melodi memberi lebih nilai pada lirik, lirik tanpa nada akan tawar makna dan nilainya. Ia merupakan ‘sense’ yang menjadi alat, samaada sesuatu melodi itu sesuai, disenangi atau tidak dikalangan umum. Maka, proses utama ini sangat kritikal jika kita sedar tentang nilai intelek pada insan komposer dan kerjanya.

Sedarkah kita mengapa muzik maju dan berkembang dengan gah di Eropah ketika zaman-zaman klasik, romantik? Dari segi teknikalnya, boleh dikatakan kebanyakan lagu dicipta panjang-panjang yakni lama tempoh durasinya, biasanya 8-10 minit setiap satu malah ada yang menjangkau ke 25 minit sebuah lagu!. Dalam aspek fundamental pula melodi ‘dikunyah’ semaksimanya oleh komposer sebelum di‘telan’ lagunya oleh penyanyi. Di sinilah keupayaan IQ dan EQ komposer benar-benar teruji. Maka hasil ideanya sangat jitu, disokong pula oleh budaya ‘pemikiran zaman’nya, sejak dari zaman pertengahan, pencerahan, rennaisence hingga zaman perindustrian. Inilah faktor penting yang menjadikan muzik klasik ini kuat, berpengaruh dan kekal berabad.

Karya-karya tersebut telah memberi suatu disiplin yang terbaik untuk dicontohi. Kini, bahagian-bahagian itulah yang menjadi bentuk gubahan karya-karya Pop abad ini, ia sesuai dengan perkembangan dunia, iaitu melodi yang enak dan simple. Namun, karya melodi yang simple kini telah menjadi semacam trend yang mempengaruhi ‘proses utama’ iaitu proses penciptaan dan pengolahan melodi. Keadaan ini tidak salah, namun kelemahannya tetap ada, ia membenih suatu kelompongan dalam aspek kualiti dan mutu inteleknya.
Benarlah kata-kata Albert Einstein “…everything should be made as simple as possible but not simpler…”. Lihat karya-karya yang memberi tumpuan pada nilai intelek dalam karyanya. Artis seperti Iwan Fals, Micheal Jackson, U2, Beetles dan ramai lagi. Bukan sahaja punya nilai komersil, tetapi mampu memberi inspirasi ( idea ) pada pandangan masyarakat ketika itu. Nilai intelek ini bukan ertinya ‘mesej murni’ atau ‘nasihat’ atau ‘kritik’ sahaja. Ia tak semestinya begitu!

Nilai intelek yang dimaksudkan adalah mengenai, dimensi ekspresi, penghayatan dan kebebasan dalam kerangka hidup yang serba progresif dan sentiasa berkembang. Ini yang baik untuk diungkap dan dikongsi kepada khalayak, dimensi yang tidak menurut ‘kebiasaan’nya, boleh menyumbang kepada pemikiran dan pandangan hidup yang baru dan segar.

Jelasnya, selain dari jiwa, melodi punya perkaitan rapat dengan nilai intelek – kesedaran. Berapa kali lagikah kita akan didendangkan dengan melodi yang lara-lara, tragedi sana-sini dan henky penky sahaja? Tanggungjawab intelek merupakan cabaran baru bagi karyawan baru. Karyawan mudalah yang harus memberi saingan dan mengisi kekosongan ini. Melodi tetap sama, akan terus menghiburkan kaum manusia dengan nilai-nilai yang positif dan lebih positif. “…if it sounds good and feels good, then it IS good!! …” laa lalaaa…tra lalalaaa….la la laaa..tra lala laa.