Isnin, Mac 05, 2007

ELEMEN 6.

TEMPO.

Skot..skooot… ARM!!!…. “ satu!….dua satu!..dua satu!!”… Suara Komandan memberi ‘koman’ di ikuti kiraan secara berbisik oleh anggota kompeni dalam pergerakan kawadnya.…

alahai…ala dondang sayang… cak pong cak pong…ah ah..heeeeaaaaa!!…. Ini pula suntingan lagu nyanyian gembira orang melayu dalam tradisinya.

TIK TOK..TIK TOK…TIK TOK.. Cubalah anda berbual ( sleng rap/hip hop ) atau berkata-kata dengan diiringi bunyi klik itu. Berbual..jangan menyanyi-nyanyi. Kemudian diam, berikan laluan seketika pada sunyi untuk lalu, kemudian sambung semula perbualan anda. Ulang dengan mengikut etika ini sehingga anda puas atau penat, maka berhentilah ia di situ..hahaha.

Kes-kes ini menjelaskan peranan Tempo dalam setiap pergerakan anggota lahir dan batin. Dalam muzik moden istillah-istillah dalam Tempo diungkap dalam bahasa Itali. Mengapa ya? Warga keturunan Arab yang menemui peranan tempo ini, tetapi ‘sekali lagi’ ia dimajukan oleh orang yang bukan dari kalangannya.

Musical speed ini hanyalah detik saat dalam minit-minitnya. Dalam seminit ada 60 detik, namun boleh juga terjadi 40 – 50 – 80 – 120. Ini nisbah-nisbah umum yang biasa diguna pakai. Aturan ini telah menimbulkan semacam perlakuan yang ‘keras/kaku’ saja. Maka untuk memberi sedikit ‘wangian’ pada detik/klik ini terciptalah Rhythmic Feel – Rubato dan Espressivo di samping Con Motto ( with motion ). Elemen ini mampu memberi tambah nilai pada Tempo. Tidak kira apa jua hadlaju muzik, harus berada dalam Temponya. Deras – Lambat – Ketat – Longgar, semuanya harus dalam Tempo. Potret yang halus lakarannya boleh menyakitkan mata jika picture frame nya senget-menget.


Tempo ini berkaitan juga dengan faktor ‘cahaya’. Ada ketikanya cahaya datang memberi motivasi kepada Tempo, adakalanya Tempo memaksa cahaya dan pencahayaannya. Matahari, bulan, lampu kesemuanya boleh memberi kesan malah ia harus. Cahaya ini environment – atmosphere – temperature. Pada persembahan muzik secara live, bukan menjadi kewajipan mutlak tempo ini setepat atau sama seperti tempo dari elektronic devices, walaupun sekarang pemuzik punya earphone untuk mendengar klik sambil membuat persembahan, momentum kelajuannya harus wujud dari dalam diri pemuzik/konduktor/penyanyi sendiri. Ini lebih realistik dan natural – genuine. Dalam persembahan live, jika terdapat sedikit kesilapan seperti out tempo, itu merupakan ‘perfection’ Ini kerana ‘hukum realiti’ tidak pernah mengizinkan setiap hal yang berlaku sempurna pada semua keadaan. Kesilapan yang sedikit inilah yang menjadikan persembahan ‘sempurna’. Barangkali, ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat ini, tak mengapalah, barangkali ini pendapat seorang yang ‘naturalis’! hahaha.

Berbalik pada faktor cahaya, rasional inilah ( natural feel ) yang memain peranan membantu. Tidak ramai penggubah mahupun komposer mengambil kira faktor ini dalam gubahannya. Kelajuan Tempo boleh memberi panduan pada supporting element ( stage/lighting ) dan krew muzik ( jurutera bunyi ) untuk memberi impak yang lebih berkesan kepada muzik dan persembahannya. Jika Rhythmic Feel bisa memberi nyawa pada muzik, maka Cahaya ini pasti akan memberi lebih daya ‘heart beat’ ( denyutan ) untuk pendengar mengejar bait-bait lagu dengan lancar dan licin sekali. Namun, kadangkala mengikut satu tempo sehala saja tanpa ada kontradiksi amat memualkan jiwa, maka berikan sedikit ‘ubat’ tentangan pada tempo. Ritardando, accelerando sebagai tanda pemulihan feel dari terlalu parallel. Henjutan tempo memberi kesan pada degupan jantung manusia, maka lakukanlah demi memberi ransangan terbaik buat pendengar atau ‘kekasih’ anda hahaha….


Tempo punya peranan yang amat besar. Ia begitu tersunyi fungsinya dalam persembahan lagu. Tempo adalah sebahagian faktor yang diperlukan oleh para pejuang kebenaran dalam setiap zaman. Tiada tempo tiada momentum maka tiadalah arus. Dengan tempo, sifat-sifat pelakunya akan mudah kelihatan. Bersahaja.

Ahad, Februari 04, 2007

ELEMEN 5.

BENTUK.
A
…oh my darling oh my darling oh my darling Clementine
…thou art lost and gone for ever
…dreadful sorry Clementine
- potongan versa dari lagu Clementine.

B
…dia Isabella lambang cinta yang lara
…terpisah kerana adat yang berbeza
…cinta gugur bersama
…daun-daun kekeringan………
C
..haluan hidup ku terpisah dengan Isabella..
..tapi aku terpaksa demi cinta ku isabella..
..moga di bukakan……
- potongan korus dari lagu Isabella.


Clementine sebuah lagu klasik, lama, ada sejarah disebalik karangan ini dan sedap pula didengar. Lagu Isabella pula dari genre moden – rock malaya, kisah cinta, juga punya kisah disebaliknya, tetapi bertolak dari imaginasi – tragedi. Karya ini fenomena pada zamannya.

Musical Form ini adalah struktur bentuk sebuah lagu. Rekaan lagu di ‘organisasi’kan dengan struktur tertentu yang sangat mudah. Mengapa perlu organized? Dengan mengorganisasikan bentuk lagu maka sempurnalah setiap ‘roh’ yang ada – berjasad. ‘Roh’ di sini boleh saja ditafsir sebagai idea.

Kadangkala, bentuk muzik ini terolah dengan sendirinya, iaitu pada ketika melodi sedang dikarang. Bagaimana ini boleh berlaku? Inilah yang dikatakan seni, setiap inci pergerakkan melodi sudah punya naratif, " sudah sedia ada kata golongan naturalis! ", dibelakangnya pula punya seribu satu pola motif rekaan yang ‘hidup’. Setiap naratif melodi akan terus meransang rasa dan idea. Maka, inilah yang dikatakan – ilham sudah punya petanya, arahnya dan bentuknya. Ahhh…Indah sungguh ciptaan tuhan.

Dalam disiplin gubahan lagu, bentuk ini adalah elemen yang boleh disusun tanpa perlu mengikut tertib proses gubahan samaada muziknya dahulu atau melodinya. Ini kerana proses membentuk melodi saling berreaksi dengan gubahan muzik. Intronya, pengulangan versanya, korusnya dan yang lain, akan sentiasa dibentuk sedikit demi sedikit. Proses ini tiada disiplin khusus yang wajib diikuti. Oleh kerana itu, bentuk muzik bisa saja berubah disaat-saat akhir sebelum rakaman mahupun persembahan. Binary atau Ternary bentuk lagu terletak pada kesesuaian dan hala tuju muzik dalam genrenya.

Versa disimbolkan sebagai A iaitu musical idea. Manakala Korus disimbolkan dengan B iaitu contrasting idea. Bagi lagu klasik Clementine lagunya hanya ada Binary A sahaja. Bentuknya AA AA. Iaitu idea. Tiada contrast. Begitulah lagunya dari awal hinggalah akhir – melodi yang sama. Inilah titik persamaan Klasikal Barat dan Tradisional Timur contohnya lagu-lagu Melayu Asli, dari satu versa ke versa yang lain hanya sedikit olahan idea, hanya pada beberapa nota tertentu saja, bentuk yang ringkas dan membawa kesan klimax yang agak perlahan/lambat tetapi maksimum.

Isabella pula terdapat pola gubahan modern iaitu Binary AA ( idea ) bagi 1st dan 2nd versa, korus Binary B ( contrast idea ) dan Terniray C ( extension idea ). Jadi ringkasnya bentuk Isabella AA BC. Struktur bentuk muzik pop/rock diinspirasi dari genre irama Blues. Iaitu 12 bar blues

Tonic / / / / A
Subdom / / tonic / / B
Dom / Subdom / Tonic / Dom / A/C

Perkembangan bentuk lagu dan muzik sentiasa berjalan, selari dengan kreativiti dan idea manusia. Lihat bagaimana Isabella dibentuk semula dengan muzik orkestra, selain dari vokal dan bunyi instrumen yang berbeza, bentuknya di add sedikit menjadi AA BC + D ( D adalah idea improvisession ). Ia tetap menarik kerana disamping form enhancement, melodi dan bentuk asal lagu masih dikekal.

Begitulah halnya dengan lagu Clementine, walau hanya single idea ia masih lagi memikat hati pendengar hingga kini. Istimewanya muzik klasik yang single idea, peranan elemen dinamik diutamakan dan kemas sekali, selain kerana melodi yang sememangnya enak, dinamik pada muziknya telah memberi watak untuk menaratifkan idea muzik dari awal ke akhir. Rhythm flow yang meransang.

Dengan bentuk, mudah bagi kita memahami dan mengenali perbezaan antara lagu. Dengan bentuk, akal mudah menerima, jiwa mudah merasanya, mudah pula menyanyikannya...bersama-sama.

Jumaat, Januari 19, 2007

Sunyi.


Apakah "sunyi" ini ?. Adakah ia sejenis benda? atau sekadar ungkapan rasa pada kata-kata? atau ia merujuk pada "ruang" fizikal atau "metafor" atau apa ?


Pernah suatu ketika dulu seorang teman rapat berbicara mengenai sunyi, dia graduan dari salah sebuah penjara di Utara tanah air. Banyak cerita yang dikongsikan bersama. Humor ada, sedih ada, sadis juga ada, tetapi seram tiada barang satu pun. Namun, antara yang menarik perhatian ialah kisah – sunyi – ini.

Mereka yang rutin hidupnya ditentukan oleh orang lain akan mengalami masalah keletihan batin, desire mereka hari demi hari menjadi semakin tumpul. Emosi tidak stabil. Mereka juga mengalami masalah memori yang teruk. Kesemua ini membuncitkan tekanan jiwa.

Seorang teman lain pernah berbicara, katanya “saat yang paling sibuk dalam hidup sesorang ialah sewaktu dia dipenjara” kerana ketika itulah mereka memikirkan tentang pelbagai perkara, antaranya – bagaimana beliau boleh ‘kantoi’ – hahaha... Malah mereka juga sibuk merancang hidup selepas dibebas kelak ( yang bukan sabit ke tali gantung laa ). Bagi yang terpenjara jasadnya, fikiran mereka wajib berkerja, jika tidak, mereka akan gila. Jadi, tiada ruang untuk mereka merasa sunyi – katanya . Maka apakah kisah sunyi ini satu propaganda sasterawan?

Seorang teman lain yang - 'lain' hahaha…juga ada berkata “hari-hari aku busy, masa makan pun kena review kerja, tapi kadang-kadang aku rasa lonely lah..”. Pembaca mungkin dapat menangkap maksudnya. Jadi, dimanakah letaknya – sunyi – ini.?.

Sahabat penulis yang - 'lain dari yang lain' ooo..huuhuhuhu….seorang penggubah lagu. Selalu pergi bercuti, katanya mahu mencari ilham. Di K.L bising – ‘jerit’nya, dia mahukan kesunyian, di situ barulah beliau boleh mendapat ilham dan mengarang lagu. Barangkali pembaca sudah boleh melihat bagaimana bentuk – sunyi – ini.

Bagi mereka yang pernah mengalami salah satu atau semua dari kisah-kisah ini, barangkali mereka tahu apa yang dikatakan sunyi – sepi – senyap – hening – tenang – atau apa saja yang bisa dirujuk sebagai – sunyi. Makna ibarat prisma kristal yang amat menyilaukan mata dengan bias cahayanya. Untuk itu biarkan saja sunyi dengan maknanya dan nikmatilah kesunyian dengan sebaik-baik nikmat kerana sunyi juga adalah muzik. Dengan sunyilah maka bunyi bisa berbunyi. Namun, apabila manusia sudah tidak lagi mampu berangan-angan dan berfikir maka barangkali inilah dia kesunyian yang benar-benar – sunyi.