Sabtu, Disember 20, 2008

APA PERANAN LIRIK PADA SEBUAH LAGU?



Bayangkan, di sebuah stadium agam, ditengahnya dua team bola Real Madrid dan M.United sedang bertarung sengit dalam final liga Juara Eropah, namun dikelilingi dengan bangku-bangku kosong. Tiada peminat, tiada penonton, tiada jurufoto dan tiada pengulas media menyaksikannya. Ia tetap hebat, tetapi tidak pula ‘terasa’ hebatnya oleh kita semua.

Bayangkan, kita sedang mengadap hidangan masakan Melayu yang enak, disediakan dengan pinggan putih retak seribu yang di tepi bibir pinggan itu ada motif bunga melor pecah tiga, disamping air sejok dan sirap merah. Bersila mengadap sayur goreng, ikan masak pindang, ikan masin digoreng bawang, ada serunding, gulai asam, gulai lemak cili padi, semua ada. Tetapi sayang, tiada ulam-ulaman atau sambal belacan. Boleh makan tapi…

Hakikatnya, bagi sebuah karangan lagu sebagai bahan hiburan umum ia harus ada lirik bahasa yang bisa difahami dan dinyanyikan bersama. Ini sifat dan fungsi paling asas bagi sebuah lirik. Benar, melodi bisa berdiri dengan sendiri tanpa apa-apa sokongan. Itu dalam konteks muzik. Tetapi ini perihal muzik sebagai hiburan yang bersifat umum atau kontemporari. Lirik juga bisa berdiri sendiri, namun itu sudah bukan dalam konteks muziknya, tetapi sudah dalam genre sastera bahasa, puisi, sajak dsd.

Maka, keperluan lirik sebagai bahasa yang bisa disebut, dicungkil fahamnya dan bisa pula di ikuti nyanyiannya, itu merupakan peranan utama dalam sebuah lagu, malah ia menambah lagi nilai pada lirik itu sendiri. Jika tidak, maka melodi tidak lagi memerlukan lirik kerana lirik tidak membantu sebagaimana peranan asasnya ini.

Soal gaya penulisan, tema, mesej ( jika ada ) dan penggunaan bahasa merupakan soal selepas kita memahami fungsinya dalam sebuah lagu.

Bolasepak takkan jadi sukan hebat dan ‘paling di minati’ tanpa penonton dan peminat fanatiknya.

Masakkan kampong takkan lengkap tanpa ‘pedas’ sambal belacannya.

Lagu takkan bisa disiul jika liriknya tiada…. dan tak kena.

Babai…

Isnin, September 29, 2008

En. Mohd. Ramadhan dan Kak Siti Syawal.

Ramadhan sudah berlalu. Ia boleh dianggap sebagai waktu ketika sedang melalui satu proses membuat sesuatu dengan segenap daya usaha. Hasil dari proses ini akan dilihat dan dizahir pada ketika bulan syawal.

Umpamakan senario ini dengan satu senario lain iaitu dalam proses pengkaryaan. Sebagai catatan dari pengalaman peribadi aku, aku sering tidak sabar untuk melihat hasil karya berbanding tumpuan pada proses membuat atau mengarangnya. Aku dapati rupanya ia dialami juga oleh pengkarya lain.

Keghairahan melihat hasil kerja seharusnya menjadi magnet untuk bekerja dengan lebih berdisiplin dan teratur. Namun kes yang pernah aku lalui ini, berlaku sebaliknya. Ia menjadi faktor utama sikap cuai dalam proses pembuatan, gopoh menyusun, buta melihat dan sombong untuk tahu.

Hasilnya tak kemana.
Meraikan syawal tidak seharusnya lebih dari menghayati ramadhan.