Rabu, September 27, 2006

ELEMEN 1.

RITMA ATAU IRAMA ?

Dalam kamus Dewan Edisi ke 3 ‘ritma’ diertikan sebagai *pertama – drama yang teratur dan agak halus, dan apabila merujuk apa itu ‘irama’ *kedua ditemui pula satu makna yang berbeza iaitu – ukuran masa atau tempo ( pada muzik ). *ketiga, tempo – ukuran waktu pada muzik ( ingin di ingatkan, tempo adalah elemen lain dari ritma ) Terpanjang daripada itu juga ada mencatatkan – gerak yang mengikut rentak/irama, ia kembali semula pada pangkal makna yang pertama. Di perhalusi maknanya, tidak jelas sama sekali. Demikian ‘bahasa’ melayu menakrifkan makna perkataan ini. Sekarang kita lihat bagaimana disiplin muzik memberi makna pada elemen-elemennya. Rhythm diertikan sebagai – ‘The element that pertaining to time, played as a grouping of notes into accented and unaccented beats’. ‘Mak Enon’ di kampung saya meringkaskan sebegini how note or chord placing in time.

Di sini, punya 2 aspek penting. 1.Makna dari aspek bahasa. 2.Makna pada disiplin ilmu yang khusus contohnya; Bidang perubatan atau sains atau muzik. Apa yang mungkin dijelaskan dalam kamus bahasa Melayu itu barangkali kefahaman dari sudut penggunaan bahasa Melayu yang di gunapakai dan diterima secara umum. Tetapi bukan dari fungsi perkataan itu yang merujuk pada disiplin ilmu yang khusus, iaitu muzik.

Bahasa punya jiwa untuk dijiwai, fungsi untuk dilengkapi, menterjemah bahasa tidak sama dengan memahami fungsinya. Di Malaysia umumnya, pengertian dari bahasa Melayu seperti inilah yang menjadi dimensi fikir masyarakatnya. Tidak kira apa jua golongan, asas menafsirnya beginilah – Tidak merujuk kepada disiplin ilmu yang khusus. Kekurangan atau kelemahan inilah yang menghasilkan kualiti kerja yang rendah mutunya. Di Malaysia sendiri, perbendaharaan kata muzik dalam bahasa Melayu tiada. Sebaliknya, jika terdapat sebarang isu berbangkit seperti ‘irama atau ritma’ ini, pasti kefahamannya akan merujuk kepada fungsinya dalam hal-hal kebudayaan yang sangat umum sifatnya. Tidak objektif. Ini bukan manifestasi yang mengutamakan nilai ekspresi sahaja, ini kefahaman asas.

Bermula dari pengetahuan yang serba kekurangan inilah maka kebanyakkan golongan seniman, khususnya komposer Malaysia bekerja dan menghasilkan karya dengan latar kefahaman sebegini, secara sedar atau tidak, lihat sahaja karya-karya yang ada. Kita bandingkan dengan karya-karya yang latar kefahamannya lebih jelas dan terarah.

‘Diari seorang Lelaki’ dari band PRETTY UGLY. Komposisi karya ini kita rasakan amat bagus, ia charming. Ini muzik Pop. Elemen fussion Jazz sedikit kedengaran. Melodi dan point of cadence sangat menarik, tetapi muziknya tidak begitu meresap dan menangkap hati. Synchronisation antara rhythm gitar dengan bass line agak parallel. Ritmanya tidak cukup ‘motivate melody’ kepada pendengar. Rhythm section DSL ini seharusnya ( barangkali ) lebih konstruktif dan nyata sepertimana ‘soul jazz’ itu sendiri, dengan corak up-beat, punya attacking part yang jitu. Di sini, part untuk mereka ‘bancuh’ hati pendengar terbiar begitu sahaja. Rugi! Ini memberi kesan kepada mutu lagu keseluruhannya kerana fungsi ritmanya belum cukup develop atau memang mereka sekadar mahu bersantai-santai saja dengan ritmanya, nothing more. Hala tuju muzik ini tidak diketahui samaada mahu fussion Rock atau Jazz atau kedua-duanya atau apa. Pendengar memang gemarkannya, tetapi mereka juga mahukan sesuatu yang lebih jelas. Bukan hanya pada lirik.

Dalam pada itu, terdapat juga komposisi lagu yang tidaklah begitu hebat tetapi berjaya menarik perhatian pendengar. Kita lihat ( dengar ) karya dari seberang yang bertajuk ‘Sedang Ingin Bercinta’ dari grup DEWA 19. Mengamati melodinya, jelas tiada apa yang terlalu istimewa, apatah lagi lirik dan temponya, sederhana saja. Lupakan tentang genrenya, dengarkan saja. Kesannya, kita boleh sustain mendengar hingga lagu itu tamat di putarkan. Mengapa?
‘Barangkali’ rhythm section pada komposisi muziknya yang synchronized dengan baik. Tempo yang sederhana deras, lead dan rhythm guitar digubah kemas, peranan riff gitar yang amat menyenangkan. Di pertengahan lagu strumming gitar adlib antara melodi sangat menonjol. Keseluruhan rhythm section yang agak teliti, kuat. ‘Keseriusan’ Dewa ‘kedengaran’ di dalam gubahan ritma pada lagu ini. Mereka sedar di mana mahu ‘balun’ jiwa pendengar. Placing ritmanya menarik, sesuai ‘banget’ dengan komposisi muziknya. Tidak terlalu advance tetapi cukup untuk menjadikan telinga pendengar sustain pada lagunya. Ini sesuai dengan music terminology seperti di atas, iaitu ritma – how not and chord placed in time.

Rhythm section adalah persoalan instrumentasi dan susunan muzik. Ia motivate lagu dan ritma pula motivate melody – inilah fungsi ritma. Sejauh mana keberkesanannya tetap bergantung kepada keinginan dan kefahaman individu yang berkarya. Feel individu kekal sebagai unsur utama. Feel ini pula kadangkalanya datang tanpa kefahaman, ini biasa terjadi tetapi inilah juga masalahnya. Kita gagal untuk define antara keperluan dan kebebasan berkarya. Ini bukan persoalan genre muzik atau teknik-teknik tipikal, tetapi ini fundamental. Foundation yang kukuh dengan idea yang jelas serta feel yang genuine pasti akan memberi hasil yang ‘lumayan’.

Muzik tetap muzik walau bahasa melayu punya makna lain bagi ritma – ia harus meransang!. Makna yang berfungsi.

Selasa, Jun 13, 2006

Aria Pertama

- aria pertama –

Intro.

‘ Aria ‘ dimaknakan sebagai – penyanyi solo opera – ia merupakan album kedua saya selepas ‘siul murba – pra manifesto ( 2001 )’ yang diterbitkan di bawah label citrus entertainment. Kini syarikat itu tidak lagi wujud seperti mana siul murba itu sendiri. Mengimbas kembali ‘pra – manifesto’, ia merupakan album bercorak langgam/ kampong/konservatif. Ini merupakan sub-concious kami yang tidak berpura – pura. Namun, siul murba yang belum sempat berjalan apatah lagi berlari telah menjadi sejarah dalam usia muda. Urat-urat melayu pada ‘pra-manifesto’ amat kuat memeta di dalamnya, dengan sedar, sifat – sifat itu diharap dapat membenih satu dimensi baru untuk muzik di Malaysia pada masa akan datang ( kini ).

Versa 1.

Kali terakhir Siul Murba bertandak ialah pada tahun 2004 di Balai Seni Lukis Negara BSLN. Paras kepercayaan muzik kami diuji. Bermula pra-manifestolah kami melihat muzik melayu ini memerlukan satu tradisi baru yang lebih bersifat dinamik. Sebelum tersasar biar saya jelaskan mengapa saya menggunakan istillah muzik ‘melayu’ bukan muzik malaysia atau pop atau apa saja. Umumnya majoriti yang terlibat dengan dunia muzik di Malaysia ini adalah berbangsa melayu baik artis, seniman, pemuzik, pengurus, promoter, produser tetapi tidak sebagai peniaga CD/Kaset (jika ada, terlalu kecil nisbahnya). Sangkar ‘kebangsaan’ ini amat tebal di Malaysia, apa sahaja yang berkaitan dengan seni atau muzik khususnya pasti akan di asiosasikan pada martabat ‘melayu’nya, adab serta adatnya, tidak kira artis solo atau berkumpulan, mereka tidak terlepas dari fenomena sedia ada, inilah nature yang sangat artificial di Malaysia, identiti yang tidak natural. Kerana nature inilah buat beberapa waktu saya menggunakan istillah tersebut.

Versa 2.

Selama berdekad muzik melayu bermula wadah sebagai hiburan berkasta-kasta, idea muziknya bertolak dari pengalaman lampau, pensejarahannya, dokongan institusi ( istana ), riwayat, lagenda metos, dan komunikasi harian, zaman itu, muzik – sastera – kostium fesyen telah berdiri sedondon pada zamannya. Hal yang sama juga berlaku nun jauh di Eropah sekitar abad ke 15 lagi. Namun apabila meledak revolusi perindustrian pada kurun ke 17, maka terbentuklah suatu wacana baru dunia seni. Kesannya masih terasa hingga ke hari ini. Muzik melayu, masih kekal bertahan menahan panahan cahaya masa, melayu juga masih hidup, sultan juga masih bertakhta, namun, budaya seni khususnya muzik dalam konteks moden masih terkial-kial mencari konsep dan bentuk untuk terus menyertai persaingan arus global. Seniman kita masih bergelut dengan pandangan-pandangan skeptikal masyarakat pada muzik itu sendiri, nilai falsafah budaya melayu dilihat sedang mengalami kehancuran sedikit demi sedikit, benarlah, bangsa yang pernah dijajah memerlukan sekurang-kurangnya 100 tahun untuk kembali bertaut rupa dan bentuknya yang sebenar.

Chorus.

Muzik seharusnya menjadi medium atau elemen sebagai ruang kebebasan melahirkan idea, berekspresi dan kreativiti kepada khalayaknya. Di ruang inilah akan berlaku ‘pasaran idea’ yang mana akan wujud satu dimensi baru yang lebih kreatif, kritis dan responsif di kalangan karyawan, penghayat ( pendengar ) dan pemodal. Ciri ini hanyalah dasar untuk seniman dan masyarakat ‘berniaga’. Barang dagangan ini tidak harus disekat, jenisnya, saiznya, kuantitinya dan kualitinya. Dalam sistem pasaran terbuka, hanya yang terbaik akan mendapat tawaran tertinggi, barang yang kurang kualitinya, ia masih boleh terus berurusan, namun demandnya rendah, ruang inilah yang maksudkan sebagai ruang kebebasan melahirkan karya/idea. Ciri ini yang seharusnya menjadi Triad Chord ( asas ) pada muzik kita. Di sinilah semua bangsa, semua kelas, semua agama berkongsi rasa keseronokan, impian dan apa jua idea yang baik untuk kemanusiaan sejagat. Muzik tidak pernah menuakan si tua, tak perlu saya menjadi doktor perubatan untuk membuktikannya. Muzik tak pernah meransang manusia untuk melakukan jenayah, jika menonton ‘komedi’ filem ‘amedues’, teori konspirasi ini membuktikan ego menjadi punca pembunuhan ke atas Mozart, bukan muzik. Orang yang lapar dan dahaga akan kabur penglihatannya, lemah tangan dan kakinya, tetapi tak pernah pekak untuk menghayati muzik. Ia ( muzik ) adalah unsur yang menyenangkan dalam kehidupan manusia. Manusia mengambil muzik dalam pelbagai bentuk, seperti upacara ritual agama, terapi rawatan, hiburan dalam acara-acara keraian dan bermacam-macam lagi. Ia semacam satu vitamin atau ubat peransang bagi manusia yang merupakan satu-satunya makhluk paling kompleks kejadiannya dimuka bumi ini.

Unison.

Muzik telah ditakdirkan buat manusia sebagai bahan keperluan hidupnya, ini akan memberi lebih makna pada perjalanan dan penerokaan dunia mereka, sifat tamak, dendam, khianat dan gopoh telah menyempurnakan nilai kemanusiaan itu sendiri. Dalam setiap zaman tamadun dunia, telah meriwayatkan betapa banyak korban jiwa atas kekotoran tangan dan minda manusia, manuskrip terpenting yang bisa merakam sejarahnya telah datang dari catatan-catatan sejarahwan, filasuf, pelukis dan seniman muzik. Mereka bekerja merakam peristiwa dalam konteks merangka masa depan. Peranan ini tidak pernah diberi dan diminta. Ia berlaku atas kesedaran dan keinginan yang bertolak dari nilai sub-concious mereka sendiri, ini tanda matang kejadian seseorang insan. Mencari keindahan, makna hidup dan keenakkan pada sebuah kehidupan, maka diciptakan oleh mereka bunyi-bunyian yang enak dinikmati. Maka sudah ia pasti menyenangkan“…if it sounds good and feels good, then it IS good!! …” Duke Ellington.

Coda.


Muzik – untuk masa depan. Ia harus bebas dari dimensi sempit yang memiskinkan idea dan penghayatnya yang mana ia sedang melatari muzik di Malaysia. Dimensi baru akan merancakkan lagi manusia berinteraksi, bereksperimen dan menilai, ini akan melahirkan suatu masyarakat yang cerah mindanya dan ia menjadi asas bagi sebuah budaya dan industri yang maju. Dalam kesibukan program realiti TV mencari idolnya, di sini saya juga tidak mahu ketinggalan mencari ’aria’nya yang ’pertama’ di Malaysia, untuk menyanyikan ’muzik dari imajan – imajan’ di hadapan mahu pun dari belakang kita.