Rabu, November 11, 2009

Perangai Politikus dalam sikap Pemuzik.








Pemuzik telah diajar untuk bermain muzik dengan sempurna agar semua pendengar bisa terhibur – senang hati.

Politikus diajar untuk bekerja bersungguh-sungguh agar nasib seluruh warga rakyat terbela – kebajikan hidup.

Kedua sifat kerjaya ini sama, iaitu untuk kebaikkan orang ramai – masyarakatnya dan rakyatnya a.k.a. peminat a.k.a penyokong.

Datuk aku sebelah ibu, panggilannya ‘encik’ tetapi bunyi sebutannya ‘incik’. Yang suatu ketika dulu berkawan mesra dengan gerombolan politikus melayu, di Johor. Zaman songkok tinggi dan senget, dengan kemeja putih berseluar gelap. Ketika dia bercerita tentang pengalamannya, aku masih kecil, belum bersunat tetapi sudah ada ‘keinginan’. Masa itu foto bogel, terselit dalam buku ‘mari mewarna’ dengan foto-foto basikal, kereta dan raksasa. Sambil aku belajar mewarna, sambil aku membelek foto bogel gadis melayu yang ayu – dalam rahsia, umur ku 6 tahun.

‘Incik’ ini bekas Penghulu dan Guru Besar, dalam eranya, dia di antara guru yang mahir bahasa British. Pergaulannya dengan ‘geng UMNO Johor’ bikin dia jadi seorang pejuang kecil. Hubungan Incik dengan Melayu Singapura juga telah menambah lagi ego pada idealisme perjuangannya. Di rumah Incik, ada bangsal tempat anak-anak buah (anak orang kampong) yang berbilang bangsa duduk mengaji bahasa penjajah darinya, sebelah malam pula, yang beragama Islam akan sambung kelas mengaji quran dari isterinya (nenek aku).

Mengenang Incik, dia ini bila makan tidak tahu pakai tangan, mesti bersudu garpu dan pisau. Makanannya masakan melayu, bukan ‘western food’. Ketika makan, dilehernya tersangkut tuala putih lagak bangsawan Inggeris sedang dinner. Makanannya terasing dalam talam sendiri, walau ketika itu Incik menjamu selera semeja dengan kaum keluarganya sendiri. Air cuci tangannya pun tak boleh sama dengan orang lain. Panggilan ‘Incik’ ini tidak terhad kepada anak murid dan anak buahnya (org kampong) saja, malah cucu-cucunya (aku), menantu, anaknya hatta isterinya pun memanggilnya ‘Incik’ – sir. Disiplin ini kekal dibawanya hingga ke akhir hayat.

Jika pulang ke kampong Incik, setiap petang aku memerhati kelas Inggerisnya. Aku perhatikan budak-budak India selalu datang lambat, budak-budak Melayu suka lekas pulang dan anak-anak Cina bila datang suka bawa makanan. Dalam kelas, budak-budak menikus.

Satu malam, aku kata pada Incik, aku mahu masuk kelas Inggerisnya, dia tersenyum dan diam. Esoknya, ketika kelas sebelah petang, aku memerhati sekali lagi budak-budak dikelas incik, lama-lama aku mulai bosan. Aku pergi kolam dan berkubang. Bila malam, sekali lagi aku ‘merengek’ nak masuk kelas Incik. Keesokkannya, hal yang sama berulang. Keadaan ini berlarutan sehingga aku pulang kerumah. Tinggallah Incik di kampong.

Di hujung hayat Incik, dia menghabiskan masa dengan muzik Ghazal. Tidak betah lagi dia berpolitik. Katanya, muzik ini juga politik, politik ‘manis’. Dengan kumpulan Ghazal, dia tidak bermain muzik, tidak juga menyanyi. Tetapi dia menubuhkan kumpulan muzik itu. Dia menjaga kebajikan pemuzik, dibelanya hidup budak-budak Ghazal ini, malah pernah juga dijodohkan budak-budak ini dengan pasangan masing-masing.

Ada kes lagi, satu ketika, aku telah mencuri tengok gambus yang tersorok dibawah katil tidurnya. Ingin sangat mencuba, sambil memetik entah apa, aku menyanyi, juga entah apa-apa. Sedang seronok bergambus, aku kantoi. Di jerkahnya aku. Mencicit aku lari, tak puas dengan gambusnya. Dan, aku merajuk.

Malamnya, Incik panggil aku, memujuk cucu jantannya. Aku kembali riang, Hati sudah kembang manja, aku ‘mengadu’ padanya aku sudah pandai menyanyi, sudah tahu bunyi gambus itu bagaimana. Aku mahu dibelikan gambus juga. Aku mahu orang gembira dan senang dengan persembahan aku. Incik masih sama, senyum dan diam mendengar suara karenah cucunya.

Ketika semua rutin Incik di kampong sudah tiada lagi, dia ikut keluarga ku berpindah. Ketika ini aku sudah besar sedikit, sudah bersunat, sudah tahu malu dan sudah tahu mengira. Aku sempat berbual dengan Incik tentang kisah silam sewaktu sama-sama di kampongnya.

Incik mengingatkan aku, kalau ada keinginan pada sesuatu, jangan suka bercakap dahulu, buatnya entah bila, tuturnya sedepa, buatnya tak sampai sejengkal. Dia bilang lagi, kalau mahu jadi pemuzik, jangan ingat apa yang kita main, semua orang akan suka. Belajar itu bukan seperti menelan biji nasi. Main muzik, samalah dengan ‘main’kan hati manusia dengan kata-kata kita yang manis-manis. Masa itu aku tidak faham sepatah haram pun ingatan Incik ini, tetapi untung, aku masih ingat…masih sangat ingat. Terima kasih pada ingatan ini, kerananya aku kini mulai faham.

Pemuzik ini, egonya berlebihan dari kemampuan mereka menghiburkan kita (khalayak). Politikus pula lebih suka menang berdebat (di depan khalayak), debat ini seolah sudah menjadi satu kerja asasi bagi mereka! Selain itu, bentuk atau wajah politikus dan pemuzik masa kini lebih bersifat material dari karismatiknya. Hakikatnya, karismatik ini akan lahir dalam bentuk ‘command’ ketika persembahan atau di pentas atau di arena masing-masing. Command inilah yang persue khalayak untuk bersama menggerak apa jua tujuan yang baik. Bukan dengan lambakkan harta kekayaan yang huduh dan jelik itu. Dua makhluk ini ada persamaannya. Ilmu tak seberapa, gah tak semena-mena.

Incik wafat tanpa meninggalkan walau secubit tanah buat waris kepada anak cucu berbanding generasi seangkatannya yang bergedung harta materialnya. Hanya wasiat dari kata-kata Incik yang masih ku ingat, “kau orang ada ilmu, usahalah sendiri”.

Salam Sejahtera buat Incik, RIP.

1 ulasan:

mari mengaji berkata...

menarik pengalaman kamu. Semuanya ada latar musik.