Sabtu, Mac 26, 2011

MODAL

Pemuzik, penulis lagu, penulis lirik, jurutera bunyi dan kesemua pekerja produksi muzik adalah sumber karya. Tanpa mereka – tiada karya. Orang politik memanggilnya ‘modal insan’. Ahli ekonomi menggelarnya ‘aset’. Kaum intektual menamakannya sebagai ‘bangsa karyawan’. Walau apa pun nama atau gelaran untuk manusia-manusia ini, mereka tetap seorang manusia yang dilayan seperti mana golongan lain juga.

Mereka ini bekerja bermodalkan ide, ilham atau dengan kata lain – intelek. Mengukur kemampuannya dan menilai harganya bukan suatu kerja yang mudah berbanding kita menilai hasil kerja manusia yang bekerja berasaskan modal fizikal seperti operator pengeluaran atau askar.

Modal ‘ide’ ini bergantung kepada banyak faktor antaranya masa, originaliti dan harapan. Jika masa mungkin maksudnya selama mana proses pembuatan itu diambil – mungkin. Jika tentang originaliti, barangkali bererti ide baru yang tidak pernah dilakukan sebelumnya, hal ini juga bergantung pada ‘persepsi’ atau tanggapan seseorang sejauh mana ‘genuinity’ sesuatu idea atau karya itu. Dengan kata lain ia bergantung kepada ‘pendapat’. Sedangkan pendapat ini pula pelbagai dan berlainan. Mengenai faktor ‘harapan’, jika karya ini diletakkan harapan yang tinggi untuk diterima dipasaran, mungkin juga harganya turut naik tinggi, jika tiada harapan diletakkan, barangkali “berapa kau bagi aku ambil”.

 Tidak ada formula khusus untuk meletak harga kepada sesebuah karya. MACP dan PRISM mengolah kaedahnya menerusi sistem Mekanikal dalam urusan mengira royalti intelek ini. Tidak salah dan tidak juga tepat. Ini semua adalah tanggapan manusia. Jika itu sudah diterima ramai, maka itulah sistem yang terbaik. Samalah dengan – demokrasi.