Teman-teman yang ingin mengetahui tentang teori-teori ekonomi dari FA Hayek, teori tentang falsafah Habermas, teori kebebasan dari Victor Hugo, falsafah pencerahan dari E.Kant, yang ingin tahu tentang Ideologi, tentang Tuhan dan konsep-konsepnya. Maka wajiblah kalian membaca buku-buku tulisan mereka atau cari sendiri maklumat tersebut di internet. Internet sudah menjadi perpustakaan yang paling besar. Untuk kalian memahami asas dan latarnya, sudah mudah.
Untuk tahu tentang karya tokoh-tokoh tersebut, pastinya bukan dari tulisan tangan orang lain atau dari aku. Tak mungkin penulis lain seperti aku, mampu menterjemahkan kefahaman mengenai ide dari tokoh-tokoh ini lebih baik dari ampunya karya. Menterjemah? Umumnya, bangsa kita amat kurang menterjemah buku. Kata sifat pada keadaan ini barangkali 'lemban' – sangat negatif.
Justru, jika saudara-saudara ingin mendengar riwayat pengalaman aku tentang muzik, maka, hadis akulah yang selayaknya kalian baca. Bukan dari sanad orang lain. Kerana, aku sahaja yang tahu dan aku sahaja yang mengalaminya, ia adalah pengalaman peribadi.
Walaupun ini pengalaman sendiri, aku boleh saja menyampaikan dalam pelbagai bentuk kata yang aku suka, apatah lagi ia menjadi hak aku untuk menyatakannya. Namun, aku tidaklah sebebas-bebasnya untuk menulis apa saja menurut mahu nafsu dan akal ku. Aku sebenarnya terikat, tetapi bukan dengan editor atau kod etika penulisan atau dengan sesiapa saja. Aku terikat untuk tidak boleh menulis dengan memperbodoh-bodohkan insan lain. Aku terikat untuk – tidak boleh menghina kesukaan orang lain. Usaha kecil ini rupanya sangat serius – satu tanggungjawab yang sama seperti berkarya dengan lagu-lagu.
Tesis aku sewaktu bersekolah Seni Halus dulu yang berjudul 'Imajan dan Bunyi' telah tergendala buat sekian lama. Antara yang sempat aku selidiki tentang muzik ini belumlah dapat dikatakan cukup mendasar. Benua Melayu kita ini pernah mencipta satu teknologi termaju pada zamannya sebelum meriam, senapang hinggalah rifle yang diilhamkan oleh Mikhail Kalashnikov – tercipta. Menempa gangsa adalah teknologi termaju dan terpenting yang mana ia telah mengembang konsep dan ide yang kini melahirkan piano, keyboard dan synthesizer. Itulah gamelan. Selain itu kita hanya ada instrumen gendangan. Samaada ia gendang Sunda atau Jawa atau rebana itu bukanlah menjadi perkara pokok.
Polemik, wacana dan kajian tentang 'Melayu' masih terus berjalan. Aku tidak akan menambah atau membuat kenyataan yang akan memisterikan lagi hakikat bangsa ini dan akhirnya terus menjadi enigma dan metos yang tak berkesudahan. Yang jelas, sumber kebudayaan melayu ini terkait banyak dan pada semua bangsa.
Himpunan budaya-budaya ini belum dapat menjadikan ia milik bangsa melayu atau menjadikan seseorang itu 'melayu' selama mana budaya-budaya luar itu tidak 'kena' atau cocok dengan sifat dan sikap orang Melayu. Dengan kata lain, orang Melayu sendirilah yang menerima nilai (budaya) dari luar dan bermutasi menjadi budayanya sendiri. Boleh jadi, beginilah salah satu caranya bagaimana budaya Melayu itu berkembang turun-temurun. Lihat saja pakej instrumentasi pada muzik Ghazal, deretan instrumen itu tidak ada satu pun dari ciptaan orang melayu. Begitu juga dengan Keroncong. Namun kesemua instrumen ini melahirkan karya yang 'Melayu'. Bakat bangsa ini di sini – mencipta irama.
Suatu ketika dulu, aku diingatkan kembali pada karya-karya S.Efendy, dan R.Azmi (antaranya). Pada mulanya aku beranggapan ia hanya karya lama (klasik) di zaman ayah ku berseluar yankee. Tetapi baru-baru ini, aku mendengar kembali lagu-lagu mereka. Pandangan aku yang dahulu, kini telah berubah. Aku yakin, karya-karya inilah yang menjadi inspirasi lahirnya ide lagu-lagu melayu zaman ini termasuk lagu-lagu yang kita katakan genre 'Rock Kapak', ' Layan Lentok' dan 'Cinta Lara'. Tetapi konsep karya muzik Malaysia hari ini sudah berbeza dan lama menyimpang dari waktu mula ia menyala.
Aku tidak merasa 'keindonesiaan' ketika mendengar lagu S.Efendy dan tidak pula merasa 'kesingaporean' tatkala R.Azmi menyanyi. Malah nyanyian keroncong dari Sundari Soekotjo atau Tuti Trisedya juga tidak kedengaran asing melodinya dengan aku. Aku percaya, inilah salah satu ciri-ciri yang dikatakan – karya genuin. Karya muzik yang genuin sememangnya bahasa yang mengatasi bahasa-bahasa kedaerahan, melangkaui anutan budaya bersuku-sukuan dan genre-genre karya. Namun, bukan pula bermaksud, kita wajib menghasilkan karya yang serupa sepertimana yang telah mereka perbuatkan. Tetapi maksud aku, lebih menjurus tentang keaslian konsep dan olahan muzik. Mempertahan atau memulihara artifak seni ini bukan tugas rasmi karyawan, malah ia juga tidak bermakna jika ia dilakukan tanpa kesedaran. Ini bukan hal lagu yang 'malar segar' ( evergreen ), sebaliknya ia adalah keinginan berkarya dengan upaya kejujuran kita.
Mengapa aku begitu yakin bahawa karya muzik R.Azmi atau S.Efendy mencetus inspirasi karya hari ini? Apakah hubungannya dengan bentuk karya zaman ini? Soalan ini sangat jelas signifikannya dengan perubahan zaman ini yang cepat, mudah dan ringkas. Konsep muzik zaman S.Efendy atau R.Azmi juga sama – mudah dan ringkas. Dengan susunan kod yang asas, bentuk komposisi lagu yang ringkas dan padat, menjadikan ide muzik ini terus releven. Namun, dalam persamaan konsep ini, masih terdapat jurang yang luas antara lagu zaman S.Efendy dan zaman ini dari segi keaslian iramanya. Ini aku sedari bilamana ciri-ciri keserdahanaan dalam muzik zaman ini telah terabai. Apakah ini godaan teknologi atau ego karyawan zaman ini, tidak pula dapat dipastikan. Yang nyata, karya seperti S.Efendy ini memperagakan mainan elemen yang sangat ekonomis. Dengan kata lain, ia sangat bersederhana dalam menyusun elemen muzik. Kesederhanaan inilah yang melahirkan 'keaslian' karya.
Memahami 'kesederhanaan' bukan sekadar pada saiz penggunaan instrumen atau proses pembuatannya. Kesederhanaan ini juga adalah tanggungjawab moral pengkarya kepada karyanya – deontology.
Dari tesis 'gantung' ke ruang wacana budaya hinggalah ke kamar menghasilkan karya muzik itu sendiri, aku melalui pengalaman yang berbelit-belit. Pengalaman orang menjadikan aku pendengar yang baik dan pengalaman peribadi ini menjadikan aku – juga pendengar yang baik. Aku, mahu jadi manusia yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan