HARMONI.
“…begitulah adanya, mereka hidup dengan aman, tenteram dan penuh HARMONI...”- Ungkapan narator mengakhiri cerita.
Harmonium – Harmonika – nama yang berinti kata daripada harmoni. Kita tidak ada mendengar instrumen yang diberi nama ‘melodium-melodi’ atau ‘ritmanika-ritma’ mahupun ‘temponium-tempo’. Justeru, elemen harmoni ini telah memberi isyarat jelas tentang keistimewaannya dalam muzik. Instrumen-instrumen ini pada asasnya dimainkan dengan mengikut melodi yakni bersama-sama dengan nyanyian vokal. Permainannya akan memberi kesan semacam sound chorus ditelinga kita, ia semacam ‘bingkai’ pada melodi. Maka kesan bunyi solo akan mati dan timbul garis bunyi duo atau lebih yang menjadi ‘penarik’ dalam lagu. Perhatikan ( dengar ) lagu-lagu Zapin mahupun Ghazal, mainan harmoniumnya nakal dan meransang sekali. Begitu juga dengan lagu-lagu Country dan Blues, sengau harmonikanya mengkhayalkan telinga. Harmoni merupakan penghubung di atas ‘pergerakkan’ sistem kod (chord), ‘paduan’ diantara nada-nada bunyi.
Disiplin ini merupakan antara disiplin-disiplin yang sangat cerewet untuk digubah. Menyusun banyak nada bunyi pada satu garis melodi bergantung kepada ‘nilai’ kesepadanannya. Nilai kesepadanan ini merupakan depth pada sesebuah ton bunyi. Functional Harmonic merupakan formula asas menghasilkan kesepadanan ini. Ia adalah gugusan pergerakan kod. Harmoni ini wujud pada semua jenis muzik. Lagu-lagu Cathederal merupakan contoh terbaik harmoni. Fungsi harmoni dalam nyanyian gereja ini untuk mewujudkan ruang, jarak serta depth dan ambience. Ruang maya dimensi muzik adalah tools bagi manusia menghayati sesuatu. Tanpa ‘ruang’ manusia akan menderita batinnya.
Dalam nyanyian ritual Islam baik berzanji, marhaban dan nasyid, terdapat banyak bahar-bahar atau jenis melodi. Antara bahar punya keunikkan tersendiri. Secara teorinya, tiada sistem khusus berkaitan harmoni dalam nyanyian seperti ini. Dengan kata lain, tiada nyanyian harmoni, sebaliknya, nyanyian beramai-ramai. Namun dalam disiplin muzik ia dikelaskan sebagai aturan muzik ‘langgam’ atau bebas secara by heart/feel/instinct ( ikut naluri – ikut suka kau la! ).
Kita biasa mendengar nyanyian/suara-suara mengaji/tadarus/berzanji/marhaban mahupun dalam tahlil, suara ketua Qari kumpulannya atau dengan bahasa di kampong-kampong digunakan sebagai ‘orang yang mem-bawa’ lagu umpamaTenor akan mengimbau jauh kedepan diikuti di belakang suara makmum ( tertib yang tidak boleh mendahului imam ), akan bertingkah-tingkah dan bersahut-sahutan nada tinggi dan rendahnya, panjang dan pendek harakatnya, kelihatan tidak begitu tersusun namun ketidaksusunan itulah susunannya. Secara teknikalnya kekhusyukan dan keasyikkan itu datang dari ‘gema’ ratib sama seperti nyanyian di gereja.
Dalam dekad ini telah banyak kumpulan nasyid yang menggelarkan diri sebagai ‘kontemporari’. Benar, anjakkan dalam kaedah gubahan harmoni itu telah wujud, sudah ada hingga ke 5th voice. Walau bagaimanapun, atas hal pengharaman suara wanita dalam nyanyian maka peranan Soprano dan Alto diketepikan, kerana itu tiada disiplin khusus yang boleh dijadikan sumber rujukan bagi kes harmoni ini dalam disiplin muzik ritual Islam walau terdapat juga kumpulan nasyid wanita yang berlagu, tetapi tidak lengkap sebagai perfect harmony. Untuk mencapai keseluruhan harmoni, not ( nada bunyi ) sebagai suara nyanyian harus digubah dengan bentuk paling maksimum, maka di sinilah titik pemisahan antara Halal dan Haram dengan penerokaan ilmu dalam pandangan Islam mengenai penglibatan suara wanita dan juga penekanan terhadap ‘kesederhanaan’ dalam pelbagai aspek termasuk muzik.
Soprano – Alto – Tenor – Bass ( SATB ) adalah jenis-jenis suara/bunyi. Ia mula aktif digunakan sejak abad ke 14 lagi, pada peringkat awal, penggunaannya dominan di pementasan Opera Klasik, Mozart ( abad ke 16 ) “...bagaimana ( suara/bunyi – not ) dari double kepada trio, dari trio menjadi triplet, dari triplet mencipta quartet…quintet…septet...architect dan seterusnya hingga kesemuanya menjadi perfect harmony…”
Al-Farabi telah mencatatkan ( asas ) kod ( 1-3rd-5th ) dan penggunaan Seventh ( 7th) Chord di dalam aturan muzik yang bermaksud 7th ini adalah ‘nilai tambah’ atau add note. Contohnya Triad C = Root C – 3rd E – 5th G dan apabila di 7th menjadi Root C – 3rd E – 5th G + 7th Bb. Disebalik nilai tambahnya, add chord ini menjadi ‘penghubung/jambatan’ kepada chord seterusnya – passing chord, Ini menjelaskan lagi pergerakkan harmoni dalam satu garis muzik. Beza antara Mozart dan Al-Farabi mungkin hanya dalam aspek methodology, iaitu, Al Farabi menyusun harmoni di dalam instrumen muzik sedang Mozart meletakkan harmoni pada keseluruhan muzik, pada instrumen dan juga suara manusia, lelaki dan wanita.
Dalam pengetahuan umum masyarakat kita, apabila disebut tentang ‘harmoni’ sering dirujuk dengan lagu-lagu patriotik. Mengapa? Telah dijelaskan fungsi harmoni dalam komposisi lagu, iaitu ‘paduan suara-suara’. Elemen ini hanya akan lebih efektif apabila digubah dengan komposisi lagu berbentuk folk music atau lagu rakyat. Lagu rakyat tidak semestinya lagu patriotik. Banyak lagu rakyat yang sekadar lalabies. Lagu patriotik diberi nama kerana kesan nyanyiannya iaitu memberi ‘semangat kebangsaan – puak/kaum’ secara khusus, itulah patriotik. Bukannya genre lagu! Namun tidak pula salah untuk ‘mengenre’kannya.
Dalam budaya multiculture seperti Malaysia ini, nyanyian lagu secara ‘langgam’ lebih memberi impak dari nyanyian koir yang sangat tipikal gubahannya di Malaysia ini. Lihat saja lagu Negara Ku. Entah berapa kali digubah, tetapi selera untuk menyanyikannya masih tumpul. Bel Canto pernah dipersembahkan di Istana Budaya suatu ketika dahulu, ya..memang hebat. Namun nyanyian ‘anak itik tok wi’ dengan gaya nyanyian langgam lebih patriotis lagi kesannnya dari komposisi yang artificial sifatnya. Kerana apa? Lagu folk memang datang dari selera rakyat bawahan, bukan golongan elit, maka lagu-lagu seperti inilah yang wajar diangkat sebagai lagu Kebangsaan – yang jelas telah menjadi himpunan kolektif jiwa rakyat sejak berzaman, sungguhpun komposernya ….wallahulam.
Harmoni adalah tanda wujudnya titik temu ( kepentingan bersama ) dalam manifestasi kehidupan manusia yang berbudaya dan bertamadun. Harmoni telah menggambarkan kehidupan secara kolektif, bersama-sama meraikan pengalaman dan pencapaian masing-masing. Maka sesuai benarlah ungkapan narator ini. “…begitulah adanya, mereka hidup dengan aman, tenteram dan penuh HARMONI...”-