Waktu pagi di kampong saya keindahannya berbeza dari suasana desa dilain-lain tempat. Walau tiada suasana persekitaran yang asli seperti suara ayam berkokok atau kicau burung dan unggas bersahutan namun di kampong saya, ketika bangkit dari tidur saya akan mendengar alunan suara nyonya yang asyik menyanyikan lagu-lagu kantonis sambil memulakan kerja awal paginya dan salakkan sayup anjing yang lapar dari sebelah rumah. Di sebelah belakang rumah pula saya akan mendengar suara dari DJ radio Tamil yang melayan pemanggil dan memainkan lagu-lagu Hindustan. Kesemua suara-suara ini, tanpa sengaja telah melahirkan satu keharmonian sebuah irama, antara anjing, nyanyian nyonya serta belitan kata dan lagu dari radio tamil. Mengasyikkan! Waktu itulah yang saya kira cukup indah, terasa hidup ini hidup. Walau tak seindah seperti rakaman suasana desa yang terdapat dalam novel-novel Melayu, suasana di kampong saya sudah memadai buat saya berterima kasih kepada tuhan atas hidup ini.
Namun keindahan ini telah diragut hilang dari kehidupan saya ketika suatu pagi tatkala saya bangkit dari tidur. Saya tidak lagi mendengar suara nyanyian nyonya itu, salakan anjing juga tiada, diradio Tamil juga senyap. Sebaliknya diganti dengan suara nyonya yang sedang membebel tanpa biji butir yang tidak saya faham. Anjing pula menderam-deram saja bunyinya, seperti anak kecil mendengus kerana tak mendapat ‘chickedees’. Diradio yang senyap itu hanya terdengar desiran angin tanpa isyarat FM.
Setelah mandi dan mengenakan pakaian saya membuka televisyen. Bosan, hanya suara-suara pakar motivasi yang sedang membebel pagi-pagi buta – sama seperti nyonya di sebelah rumah saya ini, tiada apa-apa. Saya tutup. Kemudian saya mendengar radio, ada program bersama Maxi, wah..menarik! saya tunggu dan dengar kiranya ada nyanyian ‘live’ dari beliau. Namun di hujung rancangan bual bicara tersebut terdengar Maxi ‘azan’ seperti yang diminta oleh DJ. Azan Maxi juga tak sama seperti yang diberitakan oleh akhbar yang selama ini dikatakan sedap dan ‘islamic’, bunyi semacam saja azannya.Tak kena langsung dengan suasana yang belum pun masuk waktu solat. Saya tutup radio.
Ketika ini kebosanan sudah mula menjerit-jerit dihati saya. Namun saya cuba redakannya dengan memainkan lagu dari koleksi CD yang saya gemari. Saya putarkan cd pertama,lagu ‘Lets Fly with Me’ dari Micheal Buble. Wah, lagu itu telah digantikan dengan skrip didalam filem ‘Catch Me if U Can’ pula. Mengapa begini? Saya kehairanan. Cd kedua saya capai, jika kali ini sama juga berlaku, maka saya mungkin telah gila atau telah menerima ‘bala’ dari tuhan atas ‘ketaksuban’ saya pada muzik. Takdir tuhan benar-benar berlaku, cd kedua nyanyian S.Efendi juga telah lenyap lagu-lagunya . Tetapi kali ini tiada apa-apa pula yang menggantikan bunyi itu, barangkali ‘mereka’ yang menghilangkan itu menghormati penyanyinya yang sudah tiada lagi. Kini sahlah bahawa saya akan gila dan mungkin juga telah gila.
Dalam ‘kegilaan’ yang saya sedang tempuh ini, saya cuba lakukan sesuatu perkara itu dengan hati-hati agar tidak mendatangkan ketidakselesaan pada orang lain. Biasanya saya akan berbual-bual dengan teman-teman diwarung, tapi kali ini saya hanya melihatnya dari jauh. Saya takut untuk bergaul kerana ‘perubahan’ hidup saya ini. Tatkala tengahari, teman saya datang menemui saya. Dia mengajak saya jamming. Aduh ! baru saya teringat. Inilah rutin kami – main muzik.
Sampai di studio jamming kepunyaan seorang tauke cina, kami diberitahu bahawa mereka telah menutup perniagaan studio tersebut. Kami hampa apabila diberitahu bahawa mereka sudah menukar perniagaan mereka kepada menjual ‘chopstick’. Instrumen-instrumen yang ada telah dibakar dan setengah daripadanya seperti ‘snare drum’ telah bertukar menjadi bakul sampah. Hahaha...
Kami saling berpandangan, rupa-rupanya bukan setakat kami saja yang telah ‘berubah’ malah tauke cina ini juga ikut berubah sama. Jadi kami semua juga telah ‘gila’. Resah hati saya dan teman semakin menjadi-jadi. Kami sepakat untuk mencari jawapannya. Kami ke rumah seorang teman lagi, kami tidak mengharapkan dia juga ‘sama’ seperti kami ini. Teman saya ini seorang kareografer tarian yang sentiasa sibuk dengan show dan latihan. Ketika kami sampai di rumahnya kelihatan beliau sedang bersenam, barangkali dia mahu mulakan latihan. Kami bertanya tentang persembahannya. Dia menjawab yang dia kini telah menjadi jurulatih senaman dan guru pendidikan jasmani. Kostium tariannya telah disedekahkan kepada persatuan akrobatik Cina ( circus ). Kini, dunia benar-benar telah gila. Kami termenung.
Sebelah malamnya saya dan teman-teman duduk termanggu bersama-sama. Hairan – bosan – marah – sedih dan seribu satu macam lagi perasaan menimpa akibat perubahan ini. Di sebelah rumah saya, mula kedengaran nyonya bertengkar dengan cucunya, kemudian kembali hening. Selepas itu anjing menggonggong bunyi yang memekakkan kemudian diam juga. Keluarga India di belakang rumah saya pula bergelap, senyap. Kami membuka televisyen, tiada lagi rancangan muzikal tetapi penyanyi Siki masih ada, bezanya kali ini dia bercakap, tidak pula menyanyi-nyanyi, gaya percakapannya seperti pembaca berita di tv, tapi kisahnya bertajuk ‘Biarkan Rahsia’, kami tidak terhibur tapi tertawa juga kerana ia memang lucu. Itulah rancangan paling menarik sepanjang hari itu.
Keesokan harinya,terpampang di dada-dada akhbar tentang syarikat Blog Mould Geng (BMG),WARNA MUSIC,SONI ENTRAPMENT,SURYALA RECORD telah bergabung menjadi sebuah bank saudagar yang terbesar di Kuala Lumpur. Artis-artis seperti Siki dan Maxi telah dilantik menjadi Pengurus Kanan Operasi bank tersebut. Manakala Fredie Hernandez telah menjadi Tauke Habib Jewel yang baru. Di ruangan hiburan, kumpulan tersohor Searcher telah melancarkan produk pertama mereka iatu Keropok Udang Galah. Kumpulan Dewa 1990 pula telah menjadi Toko Buku yang menjual buku-buku Nasionalis Indonesia. Kamal Abdilla pula telah di naikkan pangkat menjadi Bilal di Masjid Negara. Manakala M.Nazim dan Ramlee Syarif telah bergabung dan menubuhkan sekolah pondok (madrasah) mengaji tasawuf. Artis-artis kecil yang tercicir pula mula menjadi pelawak dan merakam kisah lucu mereka untuk dijual di pasar-pasar malam, namun lanun-lanun cetak rompak masih juga berleluasa dan menjadi teman persaingan yang setia kepada mereka yang suka merakam suara. Berita ini benar-benar memeranjatkan kami.
Di ruangan Berita Nasional pula, pemimpin-pemimpin masyarakat di Malaysia menyatakan kekaguman mereka terhadap perubahan dan perkembangan ini yang membawa kepada kerancakkan ekonomi Negara, index di BSKL meningkat dengan mendadak sekali, dijangka Malaysia akan mencatat pertumbuhan ‘menggalakkan’ pada suku ke 3 tahun ini.. Selain daripada itu pemimpin 4C berpendapat tidak akan ada lagi Pub dan disko-disko di negara dan ini akan menjadi jawapan kepada penyelesaian masalah sosial yang sekian lama melanda Negara ini. Mereka sungguh gembira.
Dalam siaran berita lewat malam menyatakan di Kedah, menurut jurucakap Majlis Ulama Malaysia menyatakan rasa syukur kerana artis-artis di Malaysia telah insaf dan tahu akan halal haram dalam hidupnya. Di Hollywood, artis-artis dan penggiat muzik antarabangsa seperti Jakson Five, Simon Templer, Mariah Kari, dan banyak lagi telah melakukan mogok lapar kerana pasaran muzik di Asia Tenggara telah mengalami kemerosotan yang mendadak dan ini memberi kesan besar terhadap ekonomi global. Siaran berita ini diakhiri dengan kenyataan seorang Timb.Menteri iaitu “..sekarang baru mereka tahu penangan ekonomi asia..serigala asia…”
Kini saya cuba menyesuaikan diri dengan dunia baru. Namun tidak sampai 3 hari berikutnya saya menerima berita penangkapan teman saya yang menjadi jurulatih senaman itu. Dia didakwa mendera sejumlah 45 orang pelajar dengan memaksa melakukan senaman yang keras hingga kesemua pelajar itu pengsan dan 3 daripadanya mati akibat keletihan yang melampau. Dalam kenyataan bela dirinya dia memberi tahu bahawa dia ‘addict’ pada pergerakan fizikal, bezanya dalam tarian pelatih-pelatih akan seronok dan ‘enjoy’ berlatih diiringi muzik, maka tiada istillah letih dalam menari. Kerana perbuatan itu, dia di hukum penjara selama 15 tahun. Kasihan...
Kemudian heboh ada kes orang mengamok di pekan kampong saya. Rupa-rupanya teman jamming saya telah mengamok di studio tauke cina tempat biasa kami ‘jamming’. Dia mengamok dengan mengetok kepala tauke itu dengan chopstick. Dia beralasan tiada drum untuk diketok. Satu alasan yang bodoh, namun dia juga ditahan di lockup polis.
Sebelah malam ketika siaran berita nasional, Maxi telah meletakkan jawatan secara tiba-tiba, sehari selepas dilantik menjadi pengurus bank. Dalam temuramah itu Maxi mendakwa beliau mengalami stress yang amat kerana tidak tahu-menahu hal dan selok belok sistem kewangan. Dia kini telah kembali ke Felcranya dan menjadi guru fardu kifayah seperti mana sebelumnya. Kemudian berita kumpulan Searcher pula yang mengeluh kerana gagal menyaingi produk keropok lekor yang lebih awal menguasai pasaran. Manakala kumpulan Dewa 1990 merungut kerana DPB lewat membayar wang royalti buku-buku terbitannya. Di masjid Negara pula, solat jumaat kali ini melimpah ruah hingga ke Jalan Chow Kit dengan orang ramai yang ingin bersolat. Ini kerana laungan merdu azan Kamal Abdilla yang menggamit-gamit manusia menunaikan solat. Hebat sekali.
Sebulan selepas itu ejen CIA yang berpusat di Washinton telah merekodkan bahawa sekolah pondok tajaan M.Nazim dan Ramlee Syarif telah tersenarai sebagai tempat merekrut puak militan dan fundamentalis Islam. Mereka kini ditahan disuatu lokasi rahsia yang dipercayai ditahan di Telok Guantanamuo,Cuba. Dalam pada itu tersebar berita Bank Gabungan yang dahulunya syarikat rakaman akan diisytihar muflis kerana berhutang sebanyak RM 70 juta kerana membiayai perkahwinan Pengurus Operasinya iaitu Siki. Di mahkamah pula di kejutkan dengan kes saman malu seorang yang bergelar ‘Tun’ berhubung isu rakaman lucu artis yang didakwa memalukan ‘Tun’ itu. Kini mahkamah telah memerintahkan agar rakaman lucu artis itu di tarikbalik serta di haramkan di pasaran. Kini artis tersebut ditahan reman. Menurut jurucakap artis terbabit beliau sekadar ingin berhibur dengan kisah-kisah lucu dan mengakui bahawa isu tersebut sengaja direka-reka olehnya. Beliau mahu hasil rakamannya dibeli oleh peminat kerana hanya itu saja ‘material’ yang sesuai untuk dijual.
Sekian…DUNIA TANPA MUZIK.
5 ulasan:
apa ni gantung2 cerita.tak puas la. Tapi siul la imaginasi ko..hahahahahahahaha
- rock ker? -
oh...abg ni hebat sungguh dlm imaginasi...jauh sekali dr jangkaan ct pada abg dgn nama mezzo depiano mu itu..dn satu lagi...dlm imaginasi tu..xde ke abg nmpak siapa gerangan diri abg pd waktu tu??hehehhe
abg tu tgh menaip cerita ni la dik oi...haha.
- rock la -
hebat..tu je aku bleh cakap...hebat cerpen ni
sewel la lu mazir...
-anonimus
Catat Ulasan