Jumaat, Januari 19, 2007

Sunyi.


Apakah "sunyi" ini ?. Adakah ia sejenis benda? atau sekadar ungkapan rasa pada kata-kata? atau ia merujuk pada "ruang" fizikal atau "metafor" atau apa ?


Pernah suatu ketika dulu seorang teman rapat berbicara mengenai sunyi, dia graduan dari salah sebuah penjara di Utara tanah air. Banyak cerita yang dikongsikan bersama. Humor ada, sedih ada, sadis juga ada, tetapi seram tiada barang satu pun. Namun, antara yang menarik perhatian ialah kisah – sunyi – ini.

Mereka yang rutin hidupnya ditentukan oleh orang lain akan mengalami masalah keletihan batin, desire mereka hari demi hari menjadi semakin tumpul. Emosi tidak stabil. Mereka juga mengalami masalah memori yang teruk. Kesemua ini membuncitkan tekanan jiwa.

Seorang teman lain pernah berbicara, katanya “saat yang paling sibuk dalam hidup sesorang ialah sewaktu dia dipenjara” kerana ketika itulah mereka memikirkan tentang pelbagai perkara, antaranya – bagaimana beliau boleh ‘kantoi’ – hahaha... Malah mereka juga sibuk merancang hidup selepas dibebas kelak ( yang bukan sabit ke tali gantung laa ). Bagi yang terpenjara jasadnya, fikiran mereka wajib berkerja, jika tidak, mereka akan gila. Jadi, tiada ruang untuk mereka merasa sunyi – katanya . Maka apakah kisah sunyi ini satu propaganda sasterawan?

Seorang teman lain yang - 'lain' hahaha…juga ada berkata “hari-hari aku busy, masa makan pun kena review kerja, tapi kadang-kadang aku rasa lonely lah..”. Pembaca mungkin dapat menangkap maksudnya. Jadi, dimanakah letaknya – sunyi – ini.?.

Sahabat penulis yang - 'lain dari yang lain' ooo..huuhuhuhu….seorang penggubah lagu. Selalu pergi bercuti, katanya mahu mencari ilham. Di K.L bising – ‘jerit’nya, dia mahukan kesunyian, di situ barulah beliau boleh mendapat ilham dan mengarang lagu. Barangkali pembaca sudah boleh melihat bagaimana bentuk – sunyi – ini.

Bagi mereka yang pernah mengalami salah satu atau semua dari kisah-kisah ini, barangkali mereka tahu apa yang dikatakan sunyi – sepi – senyap – hening – tenang – atau apa saja yang bisa dirujuk sebagai – sunyi. Makna ibarat prisma kristal yang amat menyilaukan mata dengan bias cahayanya. Untuk itu biarkan saja sunyi dengan maknanya dan nikmatilah kesunyian dengan sebaik-baik nikmat kerana sunyi juga adalah muzik. Dengan sunyilah maka bunyi bisa berbunyi. Namun, apabila manusia sudah tidak lagi mampu berangan-angan dan berfikir maka barangkali inilah dia kesunyian yang benar-benar – sunyi.

Rabu, Januari 03, 2007

ELEMEN 4.

Dinamik Antara Mesin dan Manusia.

Manusia perlu rehat untuk lebih bertenaga, untuk rehat yang baik harus tidur. Tidur yang berkualiti datangnya dari persekitaran yang tenteram yakni, tanpa gangguan. Kefahaman ini melahirkan golongan manusia yang tahu erti kualiti hidup. Namun, disiplin yang baik ini juga bisa melahirkan golongan manusia yang kurang memahami hubungan dirinya dengan perubahan alam sekeliling. Golongan ini tidak boleh tidur sekiranya terdapat gangguan bunyi, tidak kira dalam apa jua kadar sukatan kekuatan bunyi itu mahu pun pendedahan terhadapnya. Ini konsep tidur, bukan ‘tertidur’. Membiasakan diri dengan sesuatu perkara merupakan permulaan untuk melupakan ‘rasional’ bagaimana ‘kebiasaan’ itu berlaku.

Kes ini berhubung kait dengan sound intensity dan mind focus. Tanpa sedar, sering terjadi bunyi yang kedengaran halus tetapi bisa mengganggu tumpuan kita kerana bunyi ini tinggi intensitinya, ini bererti tinggi paras Treble atau Amplitude nya, contoh; bunyi Transmisi Televisyen tamat siaran – bunyi 'Ping' yang halus dan panjang. Ini bunyi dari electronic devices, ia statik iaitu tanpa kawalan treble, sekadar volume saja. Bunyi ini tidak bising tetapi tinggi paras amplitude nya, ujian secara rawak menunjukkan pada Tuner Meter + 25 Degree. Ini bermakna terdapat lebihan ketajaman ( over sharp ) bunyi. Bunyi electronic devices yang tajam ini boleh menerobos diruang udara hingga kesuatu jarak yang jauh, apabila tenaga ini diubah kepada sukatan gelombang sound transmeter, ini dikenali sebagai frekuensi.

Terdapat beberapa frekuensi yang bisa memberi gangguan pada telinga dan seterusnya minda. Berbeza dengan bunyi lantakkan cerucuk contohnya, ia memang menggegar tetapi belum tentu memekakkan walau paras desibelnya tinggi, bunyi groovy metal lantakkan cerucuk adalah bunyi akustik dari bahan semulajadi ( nature ). Intensiti bunyi nature amat mudah diserap oleh persekitaran, ketika merentasi ruang atmosfera, ia akan diserap oleh persekitaran yang sama sifatnya, juga dipengaruhi oleh faktor jarak dan ruang, maka secara teorinya bunyi ini tidak mengganggu telinga sekaligus minda, maka manusia ( dengan usaha ) masih boleh mengalih fokus mindanya pada perkara lain seperti – tidur.

Bunyi boleh dibentuk melalui – pitch – duration – amplitude – timbre. 4 perkara inilah yang menjadi elemen bunyi yang bisa digunapakai oleh manusia dalam hidupnya. Untuk membentuk bunyi perlu pendengaran yang tajam dan kehalusan idea muzik. Di sinilah titik perbezaan antara bunyi mesin dan bunyi dari sentuhan manusia – sentuhan dengan rasa.

Satu bunyi dari satu not ( tidak kira tinggi atau rendah ) yang mengikut dinamik iaitu dari senyap dan berkembang kuat dan menguncup kembali akan memberi kesan perasaan raising up and down secara tersusun dan kemas. ‘Pujukkan’ ini memberi memotivasikan pendengar menghayati keindahan mahupun kisah dalam sebuah karangan muzik.

Jelas, Haaanya… manusia sahaja yang tahu nilai dan kesesuaian bagi kehidupannya. Haaanya… manusia yang tahu kadar kekuatan bunyi yang ingin diterimanya. Mesin sekadar membantu manusia dalam mencapai maksud itu. Dinamik harus ada flow dan direction. Haaanya… manusia sahaja yang boleh melakukan kedua unsur ini.

Not, melodi, tempo, bentuk dan kesemua elemen muzik tidak akan sempurna persembahannya tanpa kesan dinamik. Kesemuanya akan menjadi statik, jika bergerak ia akan parellel, bunyi mesin industri akan mengambil alih, maka telinga dan jiwa akan menjadi keras dan mati, kesannya amat negatif. Muzik Disko merupakan contoh terbaik muzik yang kurang dinamiknya, maka ia seperti dadah, semakin banyak diambil semakin worse. Justru, dinamik memberi suatu nilai yang membantu kita mencapai konsentrasi dan ketenangan mendengar muzik, seterusnya memberi impak terhadap tanggungajawab hidup yang serba mencabar.