Khamis, Julai 10, 2008

BENARKAH MUZIK BOLEH MERUBAH SESEORANG ITU MENJADI BAIK?

1. Sebagai pemuzik/seniman.

Ciri-ciri untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidangnya tidak perlu lagi dibutirkan di sini. Semua orang tahu. Yang membezakan kualiti kejayaan itu akhirnya, akhirnya, akhirnya terletak pada sejauh mana kejujuran pada dirinya sendiri. Kejujuran di sini bukan sekadar mesej yang baik-baik saja tetapi juga meliputi hal-hal yang dianggap buruk oleh masyarakat. Sejauh mana manusia yang berniat ‘buruk’ itu sanggup berlaku jujur pada keadaan disekelilingnya, senario ini, pada dasarnya, ia tetap juga jujur. Relevennya soalan ‘kejujuran’ ini adalah kerana idea-idea yang lahir, tidak pernah bertolak dari konsep material, sebaliknya dari hati dan keinginan individu yang jelas, betul dan terarah. Ia ( isi karya ) akan ‘kedengaran’ jua. Muzik itu sendiri tidak ada keupayaan mengubah sesuatu melainkan dengan kehalusan kerja pengkaryanya. Pengkarya berubah kerana keinginannya sendiri, mungkin kesan dari pengalaman kolektifnya dan kepercayaannya. Selain dari laku dijual, karya hanya dapat menjadi anak kunci untuk membuka pintu-pintu pengetahuan dan kesedaran yang lain.


2. Sebagai pendengar.

Pendengar adalah manusia yang pelbagai jenis. Namun, kecenderungan dan matlamat golongan ini pula sangat mudah iaitu – berhibur melayan perasaan. Pendengar ( umumnya ) hanya mendengar pada apa yang ingin didengarnya. Tiada proses pengetahuan berlaku pada tahap ini. Hanya keinginan semata-mata, ini normal. Ketika mendengar, peratusan akal berfikir sangat rendah berbanding peratusan jiwa yang menikmatinya. Tahap ini juga proses pengetahuan ( kesedaran ) masih rendah, ini juga normal. Setelah habis mendengar, mereka puas, barangkali kesannya – letih, tidur atau bersorak gembira. Peringkat ini, proses pengetahuan/kesedaran sudah mula berlaku, tetapi nisbahnya sangat subjektif. Ini realiti.

Keadaan ini hanya menjelaskan satu perkara yang sangat asas iaitu, pendengar muzik ( kita ) umumnya, tiada ‘pengalaman menghayati’ karya muzik. Penghayatan ini adalah sebahagian dari ‘proses melahirkan masterpiece’. Adi karya inilah yang bisa memberi nilai tambah pada kemanusiaan, kebudayaan dan tamadun dalam masyarakat dan bangsanya. Konsep dan budaya ‘menghayati karya’ tiada di Negara kita. Jika ada, hanya yang berbentuk formalistik, bukan dengan konsep yang sebenarnya.

Dalam suhu suasana seperti hari ini, masih terdapat ruang untuk kefahaman ini berkembang. Satu fakta yang harus difahami disini ialah manusia hanya berubah apabila ada keinginan untuk ia berubah. Politik, Muzik, Ekonomi hanya alat untuk membantu manusia kearah itu. Alat-alat ini tidak pernah menjanjikan jawapan mutlak pada persoalan hidup kita. Jika soalan di atas ditanyai kembali, maka kita boleh menjawabnya...ia karut!. Muzik tidak bisa mengubah manusia menjadi baik, apatah lagi memberi kerosakkan pada manusia. Jika benar muzik bisa melakukannya pada manusia, maka Tuhan itu telah hilang….