Sabtu, Disember 20, 2008

APA PERANAN LIRIK PADA SEBUAH LAGU?



Bayangkan, di sebuah stadium agam, ditengahnya dua team bola Real Madrid dan M.United sedang bertarung sengit dalam final liga Juara Eropah, namun dikelilingi dengan bangku-bangku kosong. Tiada peminat, tiada penonton, tiada jurufoto dan tiada pengulas media menyaksikannya. Ia tetap hebat, tetapi tidak pula ‘terasa’ hebatnya oleh kita semua.

Bayangkan, kita sedang mengadap hidangan masakan Melayu yang enak, disediakan dengan pinggan putih retak seribu yang di tepi bibir pinggan itu ada motif bunga melor pecah tiga, disamping air sejok dan sirap merah. Bersila mengadap sayur goreng, ikan masak pindang, ikan masin digoreng bawang, ada serunding, gulai asam, gulai lemak cili padi, semua ada. Tetapi sayang, tiada ulam-ulaman atau sambal belacan. Boleh makan tapi…

Hakikatnya, bagi sebuah karangan lagu sebagai bahan hiburan umum ia harus ada lirik bahasa yang bisa difahami dan dinyanyikan bersama. Ini sifat dan fungsi paling asas bagi sebuah lirik. Benar, melodi bisa berdiri dengan sendiri tanpa apa-apa sokongan. Itu dalam konteks muzik. Tetapi ini perihal muzik sebagai hiburan yang bersifat umum atau kontemporari. Lirik juga bisa berdiri sendiri, namun itu sudah bukan dalam konteks muziknya, tetapi sudah dalam genre sastera bahasa, puisi, sajak dsd.

Maka, keperluan lirik sebagai bahasa yang bisa disebut, dicungkil fahamnya dan bisa pula di ikuti nyanyiannya, itu merupakan peranan utama dalam sebuah lagu, malah ia menambah lagi nilai pada lirik itu sendiri. Jika tidak, maka melodi tidak lagi memerlukan lirik kerana lirik tidak membantu sebagaimana peranan asasnya ini.

Soal gaya penulisan, tema, mesej ( jika ada ) dan penggunaan bahasa merupakan soal selepas kita memahami fungsinya dalam sebuah lagu.

Bolasepak takkan jadi sukan hebat dan ‘paling di minati’ tanpa penonton dan peminat fanatiknya.

Masakkan kampong takkan lengkap tanpa ‘pedas’ sambal belacannya.

Lagu takkan bisa disiul jika liriknya tiada…. dan tak kena.

Babai…

Isnin, September 29, 2008

En. Mohd. Ramadhan dan Kak Siti Syawal.

Ramadhan sudah berlalu. Ia boleh dianggap sebagai waktu ketika sedang melalui satu proses membuat sesuatu dengan segenap daya usaha. Hasil dari proses ini akan dilihat dan dizahir pada ketika bulan syawal.

Umpamakan senario ini dengan satu senario lain iaitu dalam proses pengkaryaan. Sebagai catatan dari pengalaman peribadi aku, aku sering tidak sabar untuk melihat hasil karya berbanding tumpuan pada proses membuat atau mengarangnya. Aku dapati rupanya ia dialami juga oleh pengkarya lain.

Keghairahan melihat hasil kerja seharusnya menjadi magnet untuk bekerja dengan lebih berdisiplin dan teratur. Namun kes yang pernah aku lalui ini, berlaku sebaliknya. Ia menjadi faktor utama sikap cuai dalam proses pembuatan, gopoh menyusun, buta melihat dan sombong untuk tahu.

Hasilnya tak kemana.
Meraikan syawal tidak seharusnya lebih dari menghayati ramadhan.

Khamis, Julai 10, 2008

BENARKAH MUZIK BOLEH MERUBAH SESEORANG ITU MENJADI BAIK?

1. Sebagai pemuzik/seniman.

Ciri-ciri untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidangnya tidak perlu lagi dibutirkan di sini. Semua orang tahu. Yang membezakan kualiti kejayaan itu akhirnya, akhirnya, akhirnya terletak pada sejauh mana kejujuran pada dirinya sendiri. Kejujuran di sini bukan sekadar mesej yang baik-baik saja tetapi juga meliputi hal-hal yang dianggap buruk oleh masyarakat. Sejauh mana manusia yang berniat ‘buruk’ itu sanggup berlaku jujur pada keadaan disekelilingnya, senario ini, pada dasarnya, ia tetap juga jujur. Relevennya soalan ‘kejujuran’ ini adalah kerana idea-idea yang lahir, tidak pernah bertolak dari konsep material, sebaliknya dari hati dan keinginan individu yang jelas, betul dan terarah. Ia ( isi karya ) akan ‘kedengaran’ jua. Muzik itu sendiri tidak ada keupayaan mengubah sesuatu melainkan dengan kehalusan kerja pengkaryanya. Pengkarya berubah kerana keinginannya sendiri, mungkin kesan dari pengalaman kolektifnya dan kepercayaannya. Selain dari laku dijual, karya hanya dapat menjadi anak kunci untuk membuka pintu-pintu pengetahuan dan kesedaran yang lain.


2. Sebagai pendengar.

Pendengar adalah manusia yang pelbagai jenis. Namun, kecenderungan dan matlamat golongan ini pula sangat mudah iaitu – berhibur melayan perasaan. Pendengar ( umumnya ) hanya mendengar pada apa yang ingin didengarnya. Tiada proses pengetahuan berlaku pada tahap ini. Hanya keinginan semata-mata, ini normal. Ketika mendengar, peratusan akal berfikir sangat rendah berbanding peratusan jiwa yang menikmatinya. Tahap ini juga proses pengetahuan ( kesedaran ) masih rendah, ini juga normal. Setelah habis mendengar, mereka puas, barangkali kesannya – letih, tidur atau bersorak gembira. Peringkat ini, proses pengetahuan/kesedaran sudah mula berlaku, tetapi nisbahnya sangat subjektif. Ini realiti.

Keadaan ini hanya menjelaskan satu perkara yang sangat asas iaitu, pendengar muzik ( kita ) umumnya, tiada ‘pengalaman menghayati’ karya muzik. Penghayatan ini adalah sebahagian dari ‘proses melahirkan masterpiece’. Adi karya inilah yang bisa memberi nilai tambah pada kemanusiaan, kebudayaan dan tamadun dalam masyarakat dan bangsanya. Konsep dan budaya ‘menghayati karya’ tiada di Negara kita. Jika ada, hanya yang berbentuk formalistik, bukan dengan konsep yang sebenarnya.

Dalam suhu suasana seperti hari ini, masih terdapat ruang untuk kefahaman ini berkembang. Satu fakta yang harus difahami disini ialah manusia hanya berubah apabila ada keinginan untuk ia berubah. Politik, Muzik, Ekonomi hanya alat untuk membantu manusia kearah itu. Alat-alat ini tidak pernah menjanjikan jawapan mutlak pada persoalan hidup kita. Jika soalan di atas ditanyai kembali, maka kita boleh menjawabnya...ia karut!. Muzik tidak bisa mengubah manusia menjadi baik, apatah lagi memberi kerosakkan pada manusia. Jika benar muzik bisa melakukannya pada manusia, maka Tuhan itu telah hilang….

Rabu, Jun 11, 2008

‘ARUS PERJUANGAN’



Lagu ini memiliki melodi yang ‘ tipical malay’. Buktinya, dengar dan lihat kontuar melodi di setiap akhir versa termasuk pada hujung korusnya. Dalam muzik bisa di baca begini … G…Bb Bb A…G…F…. ( baca dalam Key F major, time 4/4). Kontuar melodi ini tak ubah seperti lagu-lagu langgam melayu.

Perfect Cadence sebegini adalah normal, kebanyakkan lagu-lagu yang berentak march memang begitu. Apatah lagi jika penciptanya memang sudah jadi ‘kebiasaan’ menyanyikan lagu-lagu ‘Kebangsaan/Patriotik Melayu’ contohnya ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.


Permulaan lagu menekankan not ( accent ) yang sangat objektif sifatnya, ini jelas dengan lirik keadilan..keadilan!. No lentuk-lentuk my man...


Versa juga ringkas dan padat. Tetapi agak malang, di setiap exit note pada setiap versa termasuk korus – monoturnes. Tak mengapa, barangkali manusia melayu memang meminatinya.

Susunan muzik dalam versi asal barangkali dibuat di dalam sebuah bilik yang gelap gelita. Tanpa cahaya.

Apakah ‘arus perjuangan’ ini masih bergerak dalam gelap? Atau mungkin sudah sampai masanya ‘arus perjuangan’ ini dipromosikan pada segenap lapisan masyarakat bagi memastikan setiap hati dan jiwa mereka ‘dipujuk’ melalui satu bentuk nyanyian rakyat yang baru.

Rabu, April 02, 2008

PEMBINAAN KOD 1. ( chord construction ).


Kod atau Chord adalah gugusan 3 not. 1st – 3rd – 5th - Sound together. Instrumen yang boleh dimain secara kod ini umunya kumpulan jenis gitar, jenis-jenis seumpama piano, harp, timpani dan jenis-jenis seumpama glockenspiel, tradisional dan moden.

Asas kod hanya 3 not. Namun, jika lebih dari satu not sahaja yang di petik atau ketuk pada satu masa iaitu sekadar 2 not, itu juga sudah boleh diterima sebagi kod. Contoh 1st – 3rd / 1st – 5th atau 3rd – 5th. Ini nilai kod paling minimum. Paling maksimum 4 sahaja, jika ada not ke 5, itu dikira hanya sebagai passing kod.

Asas key hanya ada 2 iaitu Major dan Minor. Dua pasangan ini menjadi rumah rasmi kediaman beribu-ribu jenis kod. Untuk rumah lebih besar, pilihlah Major, bukan kerana pangkat ‘major’nya tetapi kerana bukaan saiz atau ukurannya yang besar. Jika mahu memilih sifat yang ‘introvert’ maka pilihlah Minor kerana sifat minor yang ‘kedalam’ bunyinya. Kedua jenis solfeg ini, bila di petik akan memberi perbezaan, kesan nada yang contrast. Major bersifat ‘memberi’, Minor bersifat ‘menolak’.

Sifat ‘memberi atau menambah’ dan sifat ‘menolak’ inilah menjadi asas formula percambahan kod-kod. Tambah dan tolak adalah kerja kira-kira – ilmu hisab.

Selasa, Mac 11, 2008

MusicForum
Akan menganjurkan satu Mini Jamming Session
dan sesi dialog muzik.

PADA : 15 Mac 2008
TEMPAT : Studio Dkala Jingga, No 40b, Jln Kota Raja 27/M,
HICOM TOWN CENTRE
Sek 27, Shah Alam.
MASA : 9 mlm.
ARTIS : Kumpulan NITRUS.

Dengan itu, MF menjemput teman-teman, pemuzik-pemuzik
serta pengkritik muzik untuk bersama-sama hadir
dan berhibur sambil berdiaog.

Selasa, Januari 29, 2008

NOTA 11.


BOLEHKAH ORANG GILA MENIKMATI MUZIK?
"....Hari ni kau nyanyi betul-betul. Feel mau lebih, tapi gula mau kasi kurang haaa…tak mau manis sangat."

chorus

Untuk apa pula kita mahu memberi muzik pada si gila? Tak cukupkah pendengar yang waras membeli dan menikmatinya? Soalan ini telah menjelaskan lagi peranan muzik. Iaitu, bukan sekadar produk hiburan tetapi juga muzik mampu merawat penyakit fizikal mahupun spiritual. Jadi mari kita lihat muzik sebagai fungsinya secara rasional pada kehidupan, bukan sekadar jiwa jiwang atau ritual agama mahupun hiburan ‘heboh-heboh’ saja. Teori sains tidak pernah menolak sebarang kemungkinan, oleh itu, dipercayai penyakitnya boleh sembuh dengan sumber-sumber ubatan yang ada termasuk dengan terapi muzik. Terapi muzik?

Di Malaysia, penggunaan bahan muzik sebagai ubat/terapi masih diperingkat baru. Baru tahu...baru dapat...baru cuba...baru dengar dan barua! Ada beberapa persoalan yang menarik antaranya, adakah seni muzik di Malaysia, selain dari hanya sebagai produk hiburan, punya harapan untuk berkembang menjadi salah satu bidang khusus yang lain seperti dalam bidang perubatan/kesihatan? Adakah budaya ilmu muzik kita yang terkumpul sejak Negara merdeka bisa menjelmakan harapan ini? Atau apakah kita bisa melahirkan seorang saintis dalam bidang sains fizik akustik – muzik?

Coda

Ok, kita ringankan sikit persoalan ini. Contohnya, adakah kita banyak memberi pendedahan dari karya-karya unggul seperti Simfoni no.5 atau no. 9 atau Horn Concerto in Eb kepada masyarakat umum, secara umum? Pernahkah kajian mengenai keperluannya dibuat dan di lapor pada umum? Apakah karya komposer kita setanding dengan karya-karya unggul itu? Atau, adakah komposer kita mampu menghasilkan muzik yang karyanya dapat memberi kesan pada kesihatan insan yang mendengar? – selain dari berpeluh menari?

Barangkali ini juga berat, kita ringankan lagi. Bagaimana dengan contoh karya-karya tempatan?, Apakah lagu-lagu masterpiece Melayu bisa membantu pesakit kanser atau gila sembuh? Lagu Sri mersing? Keroncong Untuk Ana? Andalusia? Isabella? Fantasia Bulan Madu? Cindai? Biarlah Rahsia? – Boleh? Selain dari Malaysia boleh! Ya, barangkali memang boleh, jadi kedua pihak – seniman dan saintis/doktor harus bekerjasama dan cubalah dengan bersungguh-sungguh. Tapi saudara-saudara, susah juga nak buat, sebab, golongan doktor/psikatris/saintis kita yang ‘ada kini’ tiada budaya dan intelek untuk memahami, meminati dan menikmati muzik, terutamanya karya-karya local ( yang bagus? ).

Kenapa pula mereka tak minat? Macam-macam sebab la nak cerita. Barangkali tengok filem 3 Abdul boleh membantu… ‘penyangak jual si penipu’. Dua-dua pihak – sakit dan gila.
Komposer pop dan rock kita dah ada, komposer ringtone pun berlambak, komposer jingle juga bersepah, tetapi komposer ‘gila’ untuk penyakit gila, belum ada. Vacancy vacancy……….


“..okey..render-render..confirm!! macam ni la…baru bole bikin org jadi gila!...”

Sabtu, Januari 19, 2008

NOTA 11.

BOLEHKAH ORANG GILA MENIKMATI MUZIK?

Intro.. 1... 2... e1 2 3 4..

Gila tidak sama dengan meracau, ada orang melayu memanggilnya ‘isim’, ini tidak, kerana isim dikaitkan dengan ‘amalan’ yang berkaitan dengan kepercayaan mistik (tahyul), saka, badi dan hantu. Gila – ‘rasionalnya’ ia sasau atau tidak siuman, akalnya berjalan dengan tidak menurut kebiasaan. Manusia gila punya imaginasi yang berbeza dengan manusia berakal waras. Si gila tidak punya pertimbangan wajar terhadap segala segi termasuk tindak tanduknya.

Soalan ini pernah ditanyakankan oleh umum termasuk para saintis. Kajian mengenainya masih terus berjalan, hingga kini masih belum ada fakta kukuh yang boleh menjelaskan tentang kemampuan orang gila menikmati muzik seperti kita yang waras menikmatinya. Perbincangannya juga masih terbuka, apa jua teori yang berkaitan masih boleh dibincangkan. Si gila yang pernah gila dan kembali sembuh juga tidak banyak membantu memberi maklumat tentang keadaannya ketika gila, mereka tidak ingat. Tahap itu, hubungannya dengan dunia rasional terputus.

Versa.

Relevannya persoalan ini kerana kita walau dimana jua, terdedah kepada penyakit gila, penyakit gila tidak sama dengan kanser atau Aids. Ini kerana saintis dengan jelas mengaitkan puncanya dengan penyakit mental atau tekanan perasaan – jiwa. Saintis boleh buktikan tentang jiwa ! hebat!...jiwa tau..bukan saintis.

Selain faktor makanan, keturunan dan kesihatan tubuh, elemen persekitaran seperti cara hidup, persekitaran dan sosial, juga menjadi faktor besar munculnya tekanan mental/jiwa ini. Faktor-faktor ini punya kaitan secara langsung dengan suatu sistem yang membentuk dimensi hidup manusia, iaitu ekonomi.

Kita pesakit mental punya ruang dimensi alamnya sendiri, apa yang mereka dengar, apa yang mereka lihat adalah diluar dari batas pancaindera kita untuk menangkapnya. Mustahil mereka tersenyum tanpa direflek oleh sesuatu dari dalam mindanya bukan?. Bagaimana dengan suara atau bunyian dari alam fizikal kita? Adakah mereka boleh mendengar? Selagi telinga mereka tidak pekak, diyakini, mereka boleh mendengar, termasuk hon kenderaan. Cuma mereka tidak peduli kerana otak tidak berfungsi menurut aturan normal kita.

Jadi, bagaimana pula untuk kita memastikan mereka meraih perhatian pada suara atau bunyian dari kita? Disini, ada baiknya kita melihat muzik sebagai salah satu cabang atau bahan ‘komunikasi’. Dalam sistem komuniti, menghidupkan komunikasi amat penting, reaksi/respon ( selain dari bertepuk tangan selepas anda menyanyi ) dari sasaran perlu di olah dan diransang, inilah cabaran besar komposer, pemuzik dan pemikirnya. Proses ini akan menelan masa, tenaga dan perahan intelek yang jerih disamping kajian dan penyelidikan mendalam untuk menghasilkannya.

Soalannya, mengapa muzik pula digunakan sebagai bahan untuk isu ‘gila’ ini? Seni visual tak boleh? Muzik, dari kajian sains telah membuktikan kuasa getaran bunyi (secara fizikal) boleh menerobos ke lapisan tertentu pada badan manusia. Contohnya, jantung dan perut ibu mengandung dengan kaedah ultrasound.

Selain dari bukti fizik yang umum ketahui, aspek psikologi juga boleh dirujuk, sesuatu ingatan/memori termasuk juga kesan de javu, bisa diransang atau teransang melalui muzik, imaginasi seseorang boleh diuji dengan tahap atau kadar refleksinya pada bunyi atau muzik-muzik tertentu. Apatah lagi karya muzik yang digunakan punya kaitan memori kepada si gila semasa warasnya dia dahulu. Ini bisa menyentuh alam bawah sedar manusia, walaupun ia gila. Ini merupakan profil asas eksperimen teori ‘gila’ ini. Ia pasti akan melalui proses yang sangat teknikal dan rumit, namun kita percaya, si gila boleh menikmati muzik, bagaimana ia menikmatinya? Buat masa ini, wallahualam, mungkin dengan satu bunyi, satu instrumen atau sebuah lagu.

“….Cut !!!!! sumbang tuuuuuuuu…….. repeat next time la..ko balik dulu..tido cukup-cukup. Baca balik lirik ni..fahamkan betul-betul. Esok-esok sambung nyanyi lagi….”